Pengurangan tarif AS kepada 10% satu langkah positif - Tengku Zafrul

LocalBusiness & Finance
27 May 2025 • 12:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengurangan tarif AS kepada 10% satu langkah positif - Tengku Zafrul

image is not available

27/05/2025 - 12:40

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR 27 Mei - Malaysia menyambut baik cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan kadar Tarif Perdagangan kepada 10% ke atas barangan Malaysia, walaupun kadar sifar seperti diharapkan sebelum ini mungkin tidak dapat dicapai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, AS menetapkan 10% sebagai kadar minimum yang tidak boleh dirunding.

"Bagi kami, apa-apa kadar di bawah 24%, atau sekurang-kurangnya 10% seperti dicadangkan Presiden AS, Donald Trump bulan lalu, sudah memadai untuk membantu industri dan pengeksport tempatan," katanya kepada Bloomberg TV.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur.

Malaysia berusaha mengurangkan kadar tarif melalui rundingan dengan Washington selepas negara itu mengenakan tarif tinggi sehingga 49% terhadap negara-negara di Asia Tenggara.

Sebagai balasan, AS mahu Malaysia mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan, menghapuskan halangan bukan tarif dan mengawal aliran teknologi sensitif.

Tarif berkenaan kini ditangguhkan selama 90 hari sementara rundingan dijalankan.

AS mencatatkan defisit dagangan dengan Malaysia sebanyak RM104.4 bilion tahun lalu.

Tengku Zafrul dalam pada itu berkata, rundingan seterusnya antara Malaysia dan AS akan diadakan minggu depan.

"Kami mahu mencapai penyelesaian menang-menang. AS adalah pasaran eksport terbesar dan pelabur utama Malaysia, jadi kami ingin memastikan hubungan perdagangan kekal kukuh," jelasnya.

Dalam usaha melindungi perdagangan Malaysia, negara juga telah mengetatkan peraturan bagi mencegah penghantaran semula bahan sensitif, terutamanya cip semikonduktor ke negara yang diharamkan seperti China.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga kini menjadi satu-satunya pengeluar Sijil Asal (COO) untuk eksport ke AS mulai 6 Mei lalu.

Sebelum ini, AS meminta Malaysia bertindak tegas terhadap dakwaan penghantaran semikonduktor ke China melalui Malaysia.

"Setakat ini, proses berjalan lancar. Kami juga telah menambah kapasiti dan sumber untuk memastikan tiada kesesakan bagi pengeksport Malaysia menghantar barangan ke AS," kata Zafrul. - DagangNews.com

standard