Untung bersih sembilan bulan Sime Darby naik 9.9% kepada RM1.29 bilion

LocalBusiness & Finance
27 May 2025 • 3:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih sembilan bulan Sime Darby naik 9.9% kepada RM1.29 bilion

image is not available

27/05/2025 - 15:43

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Mei - Sime Darby Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.29 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025, meningkat 9.9% berbanding RM1.17 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Syarikat itu berkata, peningkatan keuntungan itu disumbangkan oleh pendapatan lebih tinggi daripada UMW, serta keuntungan sekali sahaja hasil penjualan tanah Malaysia Vision Valley (MVV).

Keuntungan daripada bahagian industri dan automotif bagaimanapun mencatatkan penurunan.

"Bagi tempoh sembilan bulan itu, pendapatan kumpulan turut meningkat 8.2 peratus kepada RM52.3 bilion, berbanding RM48.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

"Namun, bagi suku ketiga, Sime Darby mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 43.2 peratus kepada RM193 juta, berbanding RM340 juta pada suku yang sama tahun lalu," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Penurunan tersebut berpunca daripada pengurangan pendapatan dalam semua bahagian utama syarikat.

Syarikat turut mencatatkan pendapatan lebih rendah sebanyak RM16.31 bilion bagi suku ketiga berbanding RM18.84 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

"Susulan itu, pendapatan sesaham kumpulan juga menurun kepada 2.80 sen, berbanding 5.00 sen sebelumnya," jelas kumpulan.

Keuntungan bahagian perindustrian susut 38.4% kepada RM221 juta, terjejas oleh prestasi lemah dari pasaran Australasia.

Faktor yang menjejaskan operasi di Australasia termasuk pelarasan harga alat ganti disebabkan kadar tukaran mata wang, cuaca tidak menentu, serta penyusutan nilai dolar Australia berbanding ringgit.

Bahagian automotif turut mencatatkan kejatuhan untung sebanyak 36.7% kepada RM114 juta, disumbangkan pendapatan dan keuntungan teras yang lebih rendah di beberapa pasaran utama seperti Malaysia, Hong Kong dan New Zealand.

Permintaan lemah dan persaingan sengit menjadi antara penyumbang utama.

Keuntungan UMW Holdings Bhd pula merosot 26% kepada RM194 juta, dipengaruhi oleh kerugian dalam perniagaan pelincir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, bahagian automotif Sime Darby Bhd terus berdepan persaingan sengit, terutamanya dengan kehadiran semakin banyak jenama kereta dari China yang kini menguasai pasaran.

Jelas beliau, segmen pengguna masih mencabar disebabkan perang harga yang berterusan dan lambakan pengeluaran industri automotif di China.

"Jenama Toyota dan Perodua di bawah bahagian UMW terus mencatat prestasi baik di Malaysia.

"Bahagian industri dijangka terus menunjukkan prestasi baik kerana permintaan tinggi dalam sektor perlombongan, walaupun sedikit terkesan akibat perubahan harga alat ganti disebabkan tukaran mata wang," katanya. - DagangNews.com

standard