Pengurus syarikat kawalan keselamatan didakwa cederakan lelaki guna pisau

13 May 2026 • 2:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengurus syarikat kawalan keselamatan didakwa cederakan lelaki guna pisau
Seorang pengurus syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan pisau. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan pisau, tahun lepas.

V M Kartik, 34, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap N Raguvaran, 34, yang mengalami kecederaan pada bahagian pipi kanan, telinga kiri, bahu kanan dan leher, di sebuah pusat hiburan di Changkat Bukit Bintang, Dang Wangi, pada 2.40 pagi, 19 Ogos 2025.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi berkata mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan tertuduh dilarang kacau ganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, peguam P. Muniswer yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Suhaila Haron membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 18 Jun untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - Bernama