Pengurusan banjir perlu ditangani pendekatan proaktif

LocalEnvironment
6 Aug 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengurusan banjir perlu ditangani pendekatan proaktif

BANGI: Pengurusan banjir di negara ini perlu beralih secara drastik daripada pendekatan reaktif kepada proaktif berasaskan analisis risiko, data saintifik dan tadbir urus yang mantap bagi menghadapi cabaran perubahan iklim serta corak hujan yang semakin sukar dijangka.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Mohamad Radzi Abdul Talib berkata, banjir monsun bukan sekadar fenomena air sungai melimpahi tebing, sebaliknya turut menyentuh keselamatan nyawa, kelangsungan ekonomi, operasi kemudahan awam serta daya tahan komuniti untuk bangkit pulih.

“Berdepan realiti perubahan iklim dan pembangunan pesat, corak hujan kini semakin sukar dijangka sekali gus memerlukan perubahan dalam pendekatan pengurusan banjir.

“Pengurusan banjir mesti bertukar drastik daripada tindakan reaktif kepada pendekatan proaktif yang berasaskan analisis risiko, data saintifik, dan tadbir urus yang mantap,” katanya ketika ucaptama Program Simposium Bah Monsun 2026 (SimBAH 2026), di sini semalam.

Menurut Mohamad Radzi, hala tuju strategik berkenaan diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Dasar Air Negara dan Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040) bagi memperkukuh pengurusan sumber air secara holistik daripada kawasan tadahan hingga ke pesisir pantai.

Katanya, tumpuan PETRA bukan sahaja melibatkan infrastruktur fizikal, malah merangkumi adaptasi iklim, Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) serta kerjasama merentas sektor.

“Fokus utama kita adalah mengurangkan risiko rakyat, memperkukuh sistem amaran awal dan membuat keputusan berasaskan data serta kolaborasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai agensi teknikal negara, JPS Malaysia mengimbangi pengurusan banjir menerusi pendekatan struktur dan bukan struktur.

Katanya, melalui pendekatan struktur, JPS Malaysia melaksanakan rancangan tebatan banjir (RTB), pembinaan kolam takungan, rumah pam, pintu kawalan air serta kerja pemulihan sungai dan perlindungan pantai.

“Manakala menerusi pendekatan bukan struktur pula, JPS Malaysia merancang pengurusan risiko serta penyampaian amaran awal berpaksikan pelan induk dan sistem sokongan keputusan utama.

“Ia merangkumi pembangunan Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB), Pelan Induk Saliran Bandar (PISMA), serta penerapan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA),” katanya.

Tambah beliau, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta Program Pembangunan Imbangan Air Negara (NAWABS) turut beroperasi 24 jam secara berterusan.

Katanya, PRABN menterjemah data hidrometeorologi kepada amaran awal banjir yang pantas, manakala NAWABS memantau ketersediaan serta mengunjurkan keperluan sumber air negara secara masa nyata dan masa hadapan.

“Cabaran perubahan iklim dan banjir yang semakin kompleks memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan seluruh masyarakat dengan kerjasama antara kerajaan, universiti, industri serta komuniti.

“JPS tidak mampu melaksanakannya secara bersendirian. Pihak universiti menyediakan kepakaran ilmu dan inovasi manakala agensi kerajaan menterjemahkannya kepada dasar dan pelaksanaan.

“Seterusnya, pihak industri membekalkan teknologi dan komuniti memberikan realiti sebenar di lapangan,” katanya. – UTUSAN

The post Pengurusan banjir perlu ditangani pendekatan proaktif appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved