
KUANTAN: Pencerobohan tanah kerajaan dan kewujudan penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pahang perlu ditangani secara drastik serta tanpa kompromi demi mempertahankan kedaulatan negeri dan keselamatan rakyat.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan pihak berkuasa meruntuhkan sebarang struktur penempatan haram PATI, khususnya yang didirikan di atas tanah kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa, titah baginda Sultan Pahang merupakan amaran keras dan peringatan penting bahawa kedaulatan serta undang-undang negeri Pahang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.
”Titah tuanku bukan sekadar isu kawalan imigresen biasa, tetapi merupakan isu keselamatan negara dan kedaulatan negeri. Kita tidak boleh membiarkan wujudnya penempatan tidak terkawal yang akhirnya menjejas ketenteraman awam sehingga membuatkan penduduk tempatan berasa asing di tanah air sendiri,” kata dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, Malaysia dan Pahang khususnya perlu mengambil iktibar daripada sejarah pengurusan pelarian Pulau Bidong dalam mencari penyelesaian yang lebih sistematik, terkawal dan berstruktur.
”Sejarah mengajar kita melalui model Pulau Bidong suatu ketika dahulu, di mana pengurusan warga asing dijalankan secara khusus, terhad di lokasi bertutup, dipantau ketat dan berfokus kepada proses penghantaran pulang atau penempatan semula tanpa membiarkan mereka meresap masuk serta bertapak secara liar dalam komuniti awam.
”Kita tidak boleh membiarkan PATI hari ini bebas mendirikan penempatan haram di mana-mana tanah kerajaan atau menguasai sektor ekonomi tempatan tanpa kawalan. Pendekatan sistematik, berpusat dan berfasa seperti yang pernah dilaksanakan negara perlu dirangka semula bagi memastikan proses penghantaran pulang dijalankan dengan cepat dan berkesan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang agar segera menyelaraskan tindakan penguatkuasaan berpadu bagi merobohkan struktur penempatan haram terbabit.
”Seperti yang dititahkan baginda, ‘tetamu yang baik menghormati tuan rumah’. Layanan baik dan toleransi yang diberikan selama ini tidak sepatutnya disalah guna oleh pihak asing untuk bertindak seolah-olah mempunyai hak yang setara dengan warganegara.
”Justeru, tindakan drastik merobohkan struktur bangunan di atas tanah kerajaan dan pembersihan premis perniagaan yang dimonopoli atau menggaji PATI secara haram mesti dilaksanakan secara berterusan dan tegas,” tambahnya.
Beliau turut menekankan sokongan penuh terhadap seruan Al-Sultan Abdullah agar kerajaan Persekutuan memperketatkan kawalan di pintu masuk dan perairan negara, memandangkan langkah pencegahan di peringkat sempadan adalah jauh lebih berkesan sebelum isu penempatan haram menjadi semakin rumit untuk ditangani. – UTUSAN
The post Pembinaan penempatan haram PATI cabar kedaulatan negeri, Mohd. Sharkar sokong penuh titah Sultan Pahang appeared first on Utusan Malaysia.






