Pengurusan kanan TSH Resources jumpa menteri Singapura, tegaskan tidak terlibat dalam kebakaran hutan Indonesia

LocalEnvironment
29 Oct 2026 • 6:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengurusan kanan TSH Resources jumpa menteri Singapura, tegaskan tidak terlibat dalam kebakaran hutan Indonesia Image from: Pengurusan kanan TSH Resources jumpa menteri Singapura, tegaskan tidak terlibat dalam kebakaran hutan Indonesia johardy29/10/2026 - 18:26 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - TSH Resources Berhad sekali lagi menegaskan tiada kebakaran dikesan dalam kawasan tanaman atau operasinya di Indonesia ketika wakil pengurusan kanan syarikat itu mengadakan pertemuan dengan menteri kerajaan Singapura susulan penelitian terhadap kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan republik berkenaan.

 

Kumpulan perladangan Malaysia itu mengesahkan wakil pengurusan kanannya menghadiri mesyuarat bersama beberapa menteri Singapura dan pegawai lain pada 28 Oktober 2026 bagi membincangkan keadaan jerebu berkenaan.

 

Perkara itu didedahkan menerusi jawapan TSH terhadap lima soalan yang dikemukakan oleh Singapore Exchange Regulation Pte Ltd (SGX RegCo) pada 28 Oktober, menerusi pengumuman bertarikh 29 Oktober yang turut difailkan kepada Bursa Malaysia.

 

TSH berkata, tiada kebakaran dikesan dalam kawasan tanaman atau operasinya antara Januari hingga 21 Oktober 2026, manakala tiada laporan atau dakwaan bahawa pekerjanya menyebabkan sebarang kebakaran.

 

Syarikat itu turut memaklumkan, semakan rekod setakat ini tidak menemukan sebarang pegangan saham atau hubungan langsung dari segi operasi, rantaian bekalan mahupun perniagaan dengan 10 syarikat yang dikenal pasti oleh Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) berhubung langkah pencegahan susulan kejadian jerebu.

 

Dua anak syarikat TSH yang diperbadankan di Singapura, iaitu TSH Oversea Pte Ltd dan TSH Global Plantation Pte Ltd, menerima notis daripada NEA pada 23 Oktober yang mengkehendaki mereka menyerahkan dokumen dan maklumat selewat-lewatnya 2 November 2026 di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 Singapura.

 

Singapura mahu maklumat operasi ladang

Notis NEA itu mengkehendaki TSH menyediakan maklumat mengenai struktur korporat, pegangan tanah di Indonesia, rantaian bekalan, langkah pencegahan kebakaran serta sebarang urusan dengan 10 syarikat berkenaan bagi tempoh bermula 1 Jun 2015.

 

TSH menjelaskan, tiada satu pun daripada 10 syarikat itu merupakan anak syarikat, syarikat bersekutu atau usaha sama kumpulan berdasarkan rekod yang disemak setakat ini.

 

Kumpulan itu sedang mengumpulkan dokumen yang diminta dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Singapura.

 

Selain notis NEA dan perkara yang telah didedahkan dalam pengumumannya, TSH berkata, setakat pengetahuannya, kumpulan itu tidak menerima sebarang pertanyaan lain atau menjadi subjek siasatan oleh pihak berkuasa di Singapura, Indonesia atau negara lain berhubung kebakaran hutan dan jerebu berkenaan.

 

TSH pertahan langkah pencegahan kebakaran

Menjawab pertanyaan SGX RegCo mengenai dasar alam sekitarnya, TSH menjelaskan dasar pembakaran sifar dikuatkuasakan di seluruh operasinya, termasuk terhadap kontraktor dan pembekal.

 

Kumpulan itu menggunakan sistem pemantauan titik panas berasaskan satelit, pemeriksaan tapak dan rondaan harian yang disokong pasukan pemadam kebakaran terlatih serta peralatan tindak balas kecemasan.

 

TSH turut melaksanakan dasar larangan penanaman baharu di kawasan tanah gambut dengan tarikh akhir rujukan ditetapkan pada 31 Disember 2015.

 

Syarikat itu berkata, semua ladang kelapa sawitnya di Indonesia mempunyai pensijilan Indonesian Sustainable Palm Oil (ISPO), manakala ladangnya di Malaysia memperoleh pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

 

Menurut TSH, audit pensijilan dan pemantauan terkini mengesahkan kumpulan itu terus mematuhi keperluan berkaitan penyediaan tanah, pengurusan tanah gambut dan pencegahan kebakaran.

 

Belanja RM2 juta setahun cegah kebakaran

TSH memaklumkan, kumpulan itu membelanjakan kira-kira RM2 juta setahun bagi langkah pencegahan dan tindak balas terhadap kebakaran.

 

Perbelanjaan tambahan turut ditanggung sepanjang musim kering semasa, khususnya bagi menambah anggota rondaan, melaksanakan langkah mengurangkan risiko kebakaran serta menyediakan peralatan perlindungan kepada pekerja dan masyarakat setempat.

 

Walaupun perbelanjaan tambahan itu tidak diperuntukkan secara khusus dalam belanjawan tahun kewangan semasa, syarikat berkenaan berkata, jumlahnya tidak besar berbanding keseluruhan kos operasi kumpulan.

 

TSH menegaskan kebakaran dan jerebu tidak menyebabkan gangguan ketara terhadap operasi perladangan serta kilang pemprosesannya, selain tidak menjejaskan secara material hubungan dengan pelanggan, institusi pembiayaan dan pihak berkepentingan lain.

 

Berdasarkan maklumat yang tersedia ketika ini, syarikat itu mengekalkan penilaiannya bahawa keadaan berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap operasi, kewangan, kedudukan undang-undang, kawal selia atau reputasi kumpulan.

 

Bagaimanapun, TSH berkata, penilaian itu akan dikaji semula seiring perkembangan semakan terhadap notis NEA dan penerimaan maklumat tambahan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved