
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa Johor Corporation (JCorp) tidak terlibat dalam kejadian kebakaran hutan di Indonesia seperti yang cuba dikaitkan dengan institusi pelaburan milik Kerajaan Negeri Johor itu.
Beliau memandang serius laporan berhubung perkara berkenaan dan mengingatkan semua pihak supaya tidak memutarbelitkan fakta sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap JCorp.
Menurutnya, JCorp sudah menjelaskan menerusi kenyataan rasmi bahawa pihaknya bersama syarikat-syarikat dalam kumpulan berkenaan tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
“Jangan ada mana-mana pihak mengambil kesempatan memutar belit fakta sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah JCorp, sebuah institusi pelaburan milik Kerajaan Negeri Johor, terlibat dalam kejadian kebakaran hutan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Onn Hafiz menjelaskan, Kulim (Malaysia) Berhad menerusi anak syarikatnya telah melupuskan kepentingan dalam lima syarikat perladangan di Indonesia sejak 2007.
Katanya, Kulim turut melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua lagi syarikat di negara berkenaan pada 6 Julai 2023.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan yang mengaitkan JCorp dengan pemilikan atau pengendalian operasi semasa syarikat terbabit serta kejadian kebakaran hutan sebagai palsu dan mengelirukan.
“Semua pihak berhak menuntut ketelusan dan akauntabiliti, tetapi biarlah berlandaskan fakta dan bukti yang sahih.
“Kerajaan Negeri Johor akan terus mempertahankan integriti, kredibiliti dan reputasi negeri daripada sebarang tuduhan yang tidak berasas,” tegasnya.
The post Onn Hafiz nafi JCorp terlibat kebakaran hutan di Indonesia appeared first on The Reporter.




