PUTATAN - Isu pengurusan projek dan pengurusan kewangan dikenal pasti antara masalah utama yang dihadapi kontraktor dalam pelaksanaan pakej kerja (WP) Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kedua-dua aspek itu perlu diberi perhatian serius oleh kontraktor bagi memastikan pelaksanaan projek LPB Sabah dapat berjalan lancar serta disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Masalah kontraktor ini melibatkan dua perkara utama iaitu pengurusan projek dan pengurusan kewangan .
“Kita berharap dua masalah utama ini dapat diselesaikan oleh kontraktor. Kita minta mereka tidak menghadapi atau menyelesaikan isu ini. Setakat ini mereka faham perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja di Wisma Pan Borneo di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jaminan bahawa semua WP LPB Sabah akan siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku kelewatan, namun menegaskan kerajaan telah menyediakan kaedah pemantauan rapi bagi memastikan kontraktor mematuhi jadual pelaksanaan.
Terdahulu, beliau mengumumkan sembilan lagi pakej kerja LPB Sabah Fasa 1A akan disiapkan pada tahun ini iaitu membabitkan WP 1, WP 3, WP 4, WP 7, WP 8, WP 10, WP 29, WP 30 dan WP 11.
"Kita sudah maklum bahawa empat WP sudah siap lama. Ada yang siap pada 2023 hingga 2025, iaitu WP 5, WP 15, WP 21 dan WP 27. Pada tahun ini, berita baik untuk rakyat, sembilan lagi WP Pan Borneo 1A akan disiapkan," katanya.
Beliau juga memaklumkan pada tahun hadapan, empat lagi WP akan disiapkan iaitu WP 2, WP 28, WP 12 dan WP 19.
"Jadi, dengan siapnya WP tahun sebelum ini, tahun ini dan tahun depan, maka kebanyakan apa yang kita tunggu-tunggu sudah menjadi kenyataan.
"Jangkaan kami, 12 WP siap pada 2028, tiga WP siap pada 2029 dan akhirnya WP 26, WP 34 dan WP 35 selesai pada 2030 bagi Pan Borneo 1A dan 1B. Harapan saya selaku Timbalan Menteri, mana yang kita boleh pantaskan, kita pantaskan. Maka dengan kepantasan itu, kita boleh menyelesaikan banyak perkara kemudahan prasarana untuk rakyat," katanya.
Ahmad turut memaklumkan bahawa dua lagi WP akan dibuka untuk menghubungkan antara Putatan dan Manggatal tanpa melalui Kota Kinabalu.
"Jadi ini boleh meringankan kesesakan di Kota Kinabalu kerana kita membuka jalan perhubungan itu pada Julai atau Ogos," jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai pakej yang telah siap, beliau memaklumkan kerajaan akan membuat keputusan segera berhubung kaedah penyelenggaraan .
"Sama ada kita akan melaksanakan penyelenggaraan mengikut konsesi sedia ada atau diselenggara oleh konsesi baharu, perkara ini akan diputuskan di peringkat pusat.
"Buat sementara waktu, JKR Sabah ada melaksanakan sedikit kerja penyelenggaraan seperti pemotongan rumput menggunakan peruntukan JKR negeri, namun tanggungjawab keseluruhan tetap perlu diputuskan melalui konsesi," katanya.






