Pengurusan royalti petroleum perlu diteliti semula - Ahmad Samsuri

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengurusan royalti petroleum perlu diteliti semula - Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyifatkan mekanisme pengurusan bayaran hasil royalti petroleum ketika ini sebagai kurang efisien memandangkan sebahagian besar peruntukan tidak disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hanya sekitar 48 peratus daripada hasil berkaitan disalurkan terus kepada kerajaan negeri, manakala selebihnya diuruskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut beliau, baki 52 peratus tersebut dibayar terus kepada syarikat pelaksana projek serta perkhidmatan di negeri ini berdasarkan tuntutan program yang dikemukakan.

“Lebih kurang 48 peratus duit yang menjadi hak kerajaan negeri merupakan pendapatan yang disalurkan terus kepada kerajaan negeri, antaranya untuk pembayaran emolumen.

“Selebihnya, sekitar 52 peratus yang kita jangka sebagai hasil negeri dalam bentuk royalti dipegang oleh pihak MOF dan hanya dibayar berdasarkan tuntutan projek serta program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, situasi itu menyebabkan kerajaan negeri berdepan kekangan dalam membuat keputusan serta pelaksanaan program kerana perlu melalui saluran Persekutuan.

Beliau memberi contoh urusan penyelenggaraan dan kutipan sampah yang sepatutnya dibayar terus oleh kerajaan negeri, namun kini dilaksanakan oleh MOF terus kepada syarikat terlibat.

“Ini menyebabkan kita berada di luar kawalan sepenuhnya dan tidak efisien kerana setiap urusan perlu melalui proses di peringkat pusat.

“Setiap pembayaran perlu melalui baucar yang dihantar ke pihak pusat untuk pertimbangan dan ini menjadikan pelaksanaan program kurang efisien,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, birokrasi tersebut turut melibatkan pelbagai program pembangunan termasuk sektor pendidikan, keusahawanan serta bantuan biasiswa yang sepatutnya di bawah peruntukan negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menegaskan bahawa sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat mentadbir Kerajaan Persekutuan, pihaknya akan melaksanakan reformasi terhadap mekanisme pengurusan royalti petroleum tersebut.

Beliau berkata, PN akan kembali kepada tafsiran asal Perjanjian Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang memperuntukkan bayaran royalti sebanyak lima peratus secara terus daripada Petronas kepada kerajaan negeri.

“Kita akan memperbetulkan semula, khususnya berkaitan kedudukan royalti bukan sahaja untuk Terengganu, tetapi juga Kelantan dan negeri-negeri pengeluar minyak lain.

“Kita mahu kembali kepada perjanjian asal dan memastikan pembayaran dibuat secara terus kepada negeri tanpa melalui saluran lain di Kementerian Kewangan,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa semakan semula terhadap beberapa tafsiran berkaitan termasuk isu wilayah laut perlu dilakukan bagi memastikan hak negeri lebih jelas dan selaras dengan perjanjian asal yang dimeterai sebelum ini.