PN anjur konvensyen khas, sedia gempur Melaka

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita pada Sidang DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada Rabu.

KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan satu konvensyen khas dalam masa terdekat sebagai langkah memperkemas gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung lebih awal.

​Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran konvensyen tersebut bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti di semua peringkat agar lebih tersusun dan mantap.

​"Kita Insya-ALLAH pada minggu depan akan mengadakan konvensyen sebagai persiapan menghadapi pilihan raya terutama di Melaka.

​"Saya telah beberapa kali turun ke Melaka bukan sahaja bertemu jentera Pas, tetapi juga rakan-rakan daripada Bersatu," katanya ketika ditemui pemberita pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Rabu.

​Mengulas mengenai persediaan gabungan itu bagi mendepani cabaran pilihan raya di negeri tersebut, Ahmad Samsuri berkata, PN kini berada pada tahap bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan PRN Melaka.

​Jelasnya, walaupun tempoh pentadbiran kerajaan negeri itu dijadualkan berakhir pada Disember 2026, namun beliau percaya tarikh pilihan raya akan diputuskan lebih awal daripada tempoh asal.

​"Walaupun tempoh mereka hingga 27 Disember 2026, saya percaya PRN akan diadakan lebih awal. Jadi kita bersedia dari sekarang termasuk dari segi jentera dan persediaan," katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh perpaduan dalaman bagi memastikan gerak kerja politik gabungan itu tidak terjejas akibat sebarang isu teknikal atau komunikasi.

​Menurutnya, menerusi mesyuarat yang dijalankan, beberapa 'milestone' atau mercu tanda telah dirangka bagi memastikan PN kekal berada di landasan yang tepat sebagai alternatif kepada rakyat.

​"Kita perlu menyelesaikan apa juga ketidakfahaman atau salah faham yang wujud dalam Perikatan Nasional. Kita telah merangka langkah untuk memperbetulkan keadaan dan meletakkan PN di landasan sebenar.

​"Kita mahu bergerak ke hadapan sebagai alternatif sebenar. Insya-ALLAH, jentera kita bersedia dan akan menerima arahan dari semasa ke semasa," jelasnya.

Dalam pada itu, ​menyentuh mengenai isu dalaman parti, Ahmad Samsuri menyifatkan perbezaan pandangan sebagai lumrah dalam sesebuah organisasi malah beliau yakin ia dapat diselesaikan secara harmoni.

​"Dalam keluarga pun kadang-kadang ada salah faham, jadi ini perkara kecil yang boleh diperbetulkan," ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved