Pengusaha F&B Ini Kongsi Sebab Utama Banyak Kedai Tiada Sijil Halal

Entertainment
3 Jan 2024 • 1:50 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sejak akhir-akhir ini, lambakan kedai makan dengan pelbagai konsep muncul dan menjadi tarikan ramai. Pun begitu, ada juga beberapa kedai yang diragui oleh netizen tentang status halal mereka dan ada juga yang mempersoal mengapa kedai-kedai ini tidak mahu memohon sijil halal.

Perkara ini ada dijelaskan oleh seorang pengusaha F&B di X yang dikenali sebagai Chan Wern Shen.

Menurutnya yang juga mempunyai sebuah restoran yang menyajikan makanan Bangladesh di Coox Glo Damansara, dia mengakui bahawa proses untuk mendapatkan sijil halal agak rumit dan menelan kos yang tinggi.

image is not available

Pun begitu, Wern Shen menjelaskan dia peka terhadap pelanggannya yang rata-rata beragama Islam dan mana mungkin dia cuba ‘mensabotaj’ perniagaannya sendiri dengan menggunakan bahan yang tidak halal.

Jelasnya lagi, kebanyakan bahan di pasaran dibekalkan oleh pembekal yang mempunyai sijil halal. Sebagai contoh, ayam yang dibelinya dari pasar raya secara pukal, memang ada disertakan dengan sijil halal. Malah, sekiranya nak dapatkan ayam yang ‘tidak halal’ di Malaysia ini, mereka perlu beli terus dari ladang.

image is not available

Selain itu, dia juga mengakui untuk memohon sijil halal adalah mahal dan sukar kerana ada banyak syarat yang dikenakan. Sebagai contoh, perlu mempunyai pekerja sepenuh masa yang ramai dan sebagai pengusaha kecil, perkara ini agak sukar untuk dilakukan kerana kekangan bajet.

Tambahnya lagi, walaupun bukan beragama Islam, dia peka terhadap keperluan dan syarat halal bagi pelanggan muslim yang datang ke kedainya dan sememangnya di kedainya tidak menggunakan arak atau bahan tidak halal dalam masakan.

Menurutnya lagi, selain dari bahan, kebersihan dapur juga dijaga dengan rapi kerana ia merupakan salah satu syarat yang dikenakan oleh KKM dan premisnya sendiri mengamalkan SOP yang ketat terhadap kerbersihan.

Pun begitu, Wern Shen mendedahkan dia tidak keberatan untuk memberitahu pelanggannya yang kedainya memang tidak mempunyai sijil halal dan dia tidak menghalang mahupun marah sekiranya pelanggan membuat keputusan untuk tidak makan di kedainya kerana itu hak mereka.

image is not available

Menerusi ruangan komen, ramai memuji luahan pemilik berkenaan kerana jujur dengan status kedainya selain ada juga yang mengatakan untuk mendapatkan sijil itu sebenarnya tidak mahal, cuma harga telah ‘ditekan’ oleh pihak konsultan.

Menurut Wern Shen, dia diberi sebut harga sebanyak RM9,000 untuk mendapatkan sijil halal selain memerlukan penambahan pekerja sebagai syarat.

Apa-apa pun, pemilik dah mengaku tidak mempunyai sijil halal tapi semua bahan ada sijil halal, jadi terpulang pada pelanggan, kalau ragu-ragu jangan, kalau yakin, silakan.

Sumber : X

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.