Pengusaha pusat asuhan didakwa kendali premis tanpa pendaftaran

8 May 2026 • 4:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pengusaha pusat asuhan didakwa kendali premis tanpa pendaftaran

Kota Kinabalu: Seorang pengusaha pusat asuhan kanak-kanak berusia 30 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan mengendalikan pusat jagaan tanpa pendaftaran.

Nurin Izzati Chaffli mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus terhadap pertuduhan mengendalikan pusat asuhan tidak berdaftar di Pusat Asuhan Nur, Kondominium University Utama, Telipok pada 16 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan Nurin diikat jamin RM1,600 dengan dua penjamin.

Nurin diwakili peguam Jagnesh Jaya.

Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 41 tahun didenda RM1,400 atau penjara sebulan kerana mencederakan rakan sekerjanya dalam pertikaian berkaitan tugasan kerja.

Mohd Asrul Jamidi mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Andi Sahrul Andi Baso di Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd pada jam 9 pagi, 4 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah diberitahu pihak pendakwaan bahawa kejadian berpunca daripada pertengkaran antara pengadu dan Asrul mengenai pembahagian tugasan di tempat kerja.

Semasa pertengkaran itu Asrul bertindak memukul pengadu menggunakan tangan pada bahagian leher dan kepala.

Akibat kejadian tersebut pengadu mengalami kesakitan serta lebam di belakang kepala, pinggang dan kaki.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah dan Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan.