Peniaga air RM10 di bazar Jalan TAR, disyaki berniaga secara haram

LocalBusiness & Finance
17 Mar 2025 • 6:07 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Isu harga makanan dan minuman di bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) terus mendapat perhatian selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan susulan terhadap aduan tular mengenai air minuman yang dijual pada harga RM10 secawan.

Menurut KPDN WPKL, pemeriksaan di lokasi yang diadu—di hadapan kedai Gulatis, Jalan TAR—mendapati peniaga air tersebut tiada di lokasi. Hasil maklumat daripada peniaga lain di sekitar kawasan itu mengesahkan individu terbabit memang menjual air pada harga RM10 secawan plastik.

Bagaimanapun, peniaga itu disyaki menjalankan perniagaan secara haram dan berpindah-pindah, tanpa lokasi tetap. Semakan dengan peniaga bazar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati individu tersebut bukan penyewa tapak DBKL dan hanya muncul di lokasi tertentu sebelum beredar.

KPDN turut mengesahkan pihak DBKL sentiasa menjalankan pemantauan terhadap peniaga jalanan di kawasan berkenaan. Aduan mengenai peniaga terbabit telah dipanjangkan kepada Jabatan Penguatkuasaan DBKL untuk tindakan lanjut.

KPDN WPKL memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan pihak DBKL bagi menangani isu peniaga tanpa lesen yang beroperasi di sekitar Jalan TAR, terutama semasa musim perayaan.