Peniaga bazar Ramadan masih guna beg plastik sekali guna

LocalEnvironment
8 Mar 2025 • 10:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Arul Kumar memberi beg kitar semula kepada orang ramai yang datang bazar Ramadan baru-baru ini

image is not available
Arul Kumar berkata kempen tiada beg plastik yang dilancarkan tidak akan berjaya selagi peniaga masih menyediakan beg plastik yang tidak dibenarkan

SEREMBAN - Kesedaran peniaga bazar Ramadan di Negeri Sembilan mengenai larangan penggunaan beg plastik sekali guna disifatkan masih rendah.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, mereka sepatutnya mematuhi syarat lesen yang hanya membenarkan penggunaan plastik biodegradasi.

"Berdasarkan pemerhatian saya di bazar Ramadan, masih ramai peniaga yang gunakan plastik sekali guna ini sedangkan dalam syarat lesen telah dinyatakan ia tak dibenarkan.

**media[3036471]**

"Bagi saya tahap kesedaran peniaga mengenai larangan penggunaan beg plastik ini masih rendah dan tidak memuaskan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya masih dalam proses mendidik masyarakat mengenai larangan penggunaan beg plastik, namun tidak teragak-agak mengambil tindakan selepas ini.

Tambahnya, selagi peniaga masih menyediakan plastik tidak dibenarkan, kempen tiada beg plastik yang dilancarkan tidak akan berjaya.

"Saya faham kebanyakan kita sudah terbiasa dengan penggunaan plastik, tetapi kita tak boleh teruskan amalan ini kerana ia boleh beri kesan buruk kepada alam sekitar.

"Bagi saya ia perlu bermula dari kalangan peniaga dulu kerana jika tidak sampai bila-bila pun kita tidak akan berubah," katanya.