Peniaga Durian Rugi RM450,879 Ditipu Sindiket Pelaburan AI Palsu

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 4:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Peniaga Durian Rugi RM450,879 Ditipu Sindiket Pelaburan AI Palsu

RAUB - Seorang peniaga durian mengalami kerugian RM450,879 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang menggunakan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mangsa berusia 31 tahun mendakwa berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi Telegram pada 30 Oktober lalu.

Menurutnya, suspek kemudian mengajak mangsa menyertai skim pelaburan membabitkan peredaran wang melalui aplikasi berteknologi AI yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Mangsa kemudiannya diarahkan melayari sebuah laman sesawang untuk memulakan pelaburan berkenaan.

“Bermula 4 November lalu, mangsa membuat beberapa pembayaran bagi tujuan pelaburan, yuran, tambahan modal serta penalti akibat kelewatan membuat penambahan modal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa melakukan sebanyak 22 transaksi ke 12 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM450,879.

Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan bagi membolehkan modal pelaburan dikeluarkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Mohd Shahril menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak latar belakang sesuatu pelaburan dan memastikan skim berkenaan mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM). - Getaran, 25 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved