Datuk palsu dijana AI guna imej PM, KPN umpan pelaburan

LocalTechnology
29 Oct 2026 • 2:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Datuk palsu dijana AI guna imej PM, KPN umpan pelaburan

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan mencipta identiti Datuk palsu bagi memperdaya orang ramai menyertai skim pelaburan mata wang asing (forex) dan emas tidak wujud yang kononnya menawarkan keuntungan lumayan.

Malah, sindiket terbabit turut dikesan menyalahgunakan imej Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong serta pegawai kanan polis, termasuk Ketua Polis Negara dan bekas Ketua Polis Negara bagi mewujudkan gambaran seolah-olah skim itu mendapat sokongan pihak berkuasa.

Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sindiket berkenaan menggunakan imej seorang wanita dikenali sebagai Yang Xiaoying atau Xenia yang mendakwa dirinya bergelar Datuk dari Melaka serta duta kebajikan sebuah pertubuhan amal.

Menurutnya, imej wanita itu turut memaparkan pakaian istiadat, selempang dan pingat kebesaran bagi meyakinkan orang ramai bahawa dia merupakan penerima darjah kebesaran yang sah.

“Pada mulanya, ramai menyangka wanita itu benar-benar seorang Datuk kerana penampilannya kelihatan meyakinkan. Namun, hasil semakan mendapati tiada individu dengan nama berkenaan dalam rekod berkaitan darjah kebesaran Melaka.

“Apabila diperiksa dengan lebih lanjut, kami mendapati gambar tersebut dijana menggunakan AI,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan imej berkenaan untuk menarik perhatian orang ramai dengan menawarkan peluang pelaburan dalam forex dan emas, selain menjanjikan keuntungan besar kepada mereka yang menyertainya.

Katanya, mangsa kononnya hanya perlu melabur dan memperoleh keuntungan sebelum sebahagian wang disalurkan kepada kerja amal, sekali gus menggunakan imej kebajikan sebagai helah untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai.

“Sindiket ini sangat bijak menggunakan taktik berkenaan. Mereka mahu orang ramai percaya bahawa pelaburan itu wujud kerana individu terbabit digambarkan sebagai seorang yang aktif melakukan kerja amal,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Undang-Undang Majlis Datuk-Datuk Malaysia (MDDM), Datuk Joy Appukuttan berkata, penyalahgunaan gelaran yang tidak diiktiraf merupakan satu kesalahan jenayah yang serius.

Beliau berkata, MDDM menerima sekurang-kurangnya tujuh aduan sejak tahun lalu berhubung individu yang menggunakan gelaran Datuk palsu, termasuk mereka yang mendakwa gelaran berkenaan dikurniakan oleh kerabat diraja asing atau negara yang tidak diiktiraf.

“Di bawah Akta Kesalahan yang Berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787), penggunaan anugerah yang tidak diiktiraf, memohon anugerah asing yang tidak diiktiraf serta menggunakan gelaran yang tidak dikurniakan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Negeri merupakan suatu kesalahan,” katanya.

Appukuttan menegaskan bahawa individu yang didapati bersalah di bawah Akta 787 boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda antara RM10,000 hingga maksimum RM250,000. – KOSMO! ONLINE

The post Datuk palsu dijana AI guna imej PM, KPN umpan pelaburan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved