
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Berkecimpung dalam perniagaan khususnya dalam industri menjual makanan sememangnya bukan perkara mudah.
Ini kerana, makanan yang disediakan perlulah dalam keadaan bersih dan kualitinya sentiasa dijaga sebelum dijual kepada pelanggan.
Perkara ini adalah bagi mengelakkan berlakunya pencemaran dalam makanan serta masalah kesihatan.
Oleh itu, para peniaga termasuk mereka mengendali makanan perlu sentiasa membuat pemeriksaan terhadap produk termasuklah bahan seperti tarikh luput, kesegaran barangan, bekas yang digunakan dan sebagainya mencapai spek yang ditetapkan.
Lelaki luah kecewa rendang dimasak basi
Baru-baru ini seorang lelaki yang juga peniaga dikenali sebagai Chek Aiman (@chekaiman_09) di Threads telah meluahkan rasa kecewa apabila makanan yang baru disediakan buat pelanggan menjadi basi.
Menerusi hantaran itu, Chek Aiman menyifatkan keadaan itu membuatkan dia berasa stres dan kecewa kerana modal juga telah dikeluarkan untuk menyediakan pesanan pelanggan.
“Modal labur banyak tapi kalau bukan rezeki saya tak boleh nak cakap apa, kena ganti yang baharu dekat pelanggan.
“Naik berbuih walhal masak ‘paste’ punya lah lama, costing bagi berniaga je tahu harga barang sekarang macam mana,” ujarnya.
Ramai bagi tips dan nasihat supaya makanan tak mudah basi
Hantaran Chek Aiman kemudiannya menjadi tular dan ramai yang prihatin serta memberikan beberapa tips serta nasihat bagi mengelakkan makanan mudah basi.
Ada yang memberi nasihat untuk mengelakkan daripada meletakkan makanan yang panas terus ke atas simen mahupun mozek. Menurut individu itu suhu makanan yang turun secara mendadak boleh membuatkan makanan cepat basi.
Sebaliknya makanan itu perlu dialas terlebih dahulu dan dibiarkan sejuk di dalam kuali sebelum dipindahkan ke dalam bekas.
Ada juga yang berpendapat santan segar juga berpotensi mengakibatkan rendang tersebut cepat basi.
Oleh itu, ia perlu dimasukkan awal sekitar dua jam selepas tumis sebelum memasukkan ayam dan pastikan ayam terbabit dibasuh dan ditos sehingga tiada air sebelum dimasuk ke dalam kuali.
Tidak kurang ada juga mengatakan disebabkan cuaca yang panas ketika ini juga boleh menjadi punca sesuatu makanan itu cepat basi.
Terdapat pengguna bertanya adakah rendang itu sudah dihantar kepada pelanggan sebelum menyedari ia basi?
Chek Aiman menjelaskan makanan itu belum dihantar kepada pelanggan dan dia menyedari ia sudah basi.
“Belum sampai ke pelanggan. Ni masa dekat dapur rumah saya, saya masukkan dalam bekas lepas tu biar je dulu nak bagi sejuk sikit baru nak tutup nak pergi hantar. Pergi ke dapur semula tengok-tengok dah berbuih,” jelas Chek Aiman lagi.
View on Threads
Buat rendang baru untuk bagi pada pelanggan
Chek Aiman turut memaklumkan kepada BuzzKini insiden rendang basi ini pertama kali berlaku selama empat ke lima tahun beliau menjalankan perniagaan ini.
Katanya rendang itu dimasak seperti biasa menggunakan resipi yang sama seperti sebelumnya. Oleh kerana ia basi, dia kemudian membuat rendang yang baharu untuk diberikan kepada pelanggan.
“Betul saya ganti lain, yang baru untuk pelanggan. Saya masak satu per satu, dah tak berani nak masak banyak-banyak (ekor ayam) macam tu.”
Menurut Chek Aiman, dia menjalankan perniagaan menjual makanan itu dari rumah di Sungai Petani, Kedah.
Berikut adalah komen netizen:
“Kalau tengah panas elakkan terus letak atas simen atau mozek. Suhu turun mendadak tu yang buat lauk basi. Arwah mak selalu ajar macam ni, alas dengan bekas telur lagi elok, biar sejuk dalam kuali je baru pindah dalam bekas.”

“Allah, sayangnya. Kalau dah tertulis bukan rezeki kita kan”

“Kalau jadi macam ni, sama ada santan kurang segar atau panas-panas awak masuk dalam bekas plastik tu”

“Ada beberapa sebab (rendang jadi basi)”




