Peniaga kecil tidak perlu bimbang berhubung isu penggunaan tong gas LPG berwarna ungu kerana mereka masih dibenarkan menggunakan tong gas bersubsidi berwarna hijau, selagi penggunaan tidak melebihi had yang ditetapkan.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr. Fuziah Salleh, hanya peniaga besar dan pengguna industri yang menggunakan lebih tiga tong gas 14kg pada satu masa (lebih 42kg) perlu beralih kepada tong gas ungu yang tidak bersubsidi.
“Peniaga kecil macam Makcik Kiah yang jual mi goreng atau goreng pisang di tepi jalan masih boleh guna tong gas hijau. Yang perlu guna tong ungu adalah restoran besar, hotel dan kilang yang guna banyak gas.”
Kenyataan itu dibuat selepas tularnya kekeliruan dalam kalangan peniaga kecil yang mendakwa mereka diberi notis untuk menukar kepada tong gas ungu, disusuli dengan kebimbangan tentang peningkatan kos operasi.
KPDN menjelaskan, tindakan penguatkuasaan seperti Ops Gasak bertujuan memberi kesedaran dan mengesan penyalahgunaan tong gas bersubsidi, bukannya mengenakan tindakan kepada peniaga kecil. Dokumen yang dikeluarkan hanyalah Kenyataan Pemeriksaan Premis, bukan notis denda atau kompaun.
Kenapa tong gas ungu diperkenalkan?
Tong gas ungu diperkenalkan untuk membezakan antara LPG bersubsidi (domestik) dan tidak bersubsidi (komersial). Ia selari dengan Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang menghadkan penggunaan LPG bersubsidi kepada 42kg sahaja bagi pengguna bukan domestik.
Langkah ini juga bertujuan mengelak ketirisan subsidi dan memastikan bantuan kerajaan hanya dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.
Ringkasan Berita:
• KPDN sahkan peniaga kecil masih boleh guna tong gas hijau jika tak lebih 3 tong
• Tong gas ungu diwajibkan hanya untuk pengguna industri atau komersial berskala besar
• Ops Gasak hanya untuk advokasi, bukan denda atau rampasan ke atas peniaga kecil
The post Peniaga kecil tidak diwajibkan guna tong gas ungu, KPDN beri jaminan appeared first on The Reporter.


