Peniaga tegaskan lauk dikira asing ikut permintaan
Seorang peniaga nasi lemak di Balik Pulau meluahkan rasa kecewa apabila didakwa dimarahi seorang pelanggan lelaki yang tidak berpuas hati dengan cara harga dikira.
Menurut hantaran yang tular di Facebook, pelanggan tersebut berang apabila dimaklumkan lauk seperti ikan bilis dan telur tidak termasuk dalam harga asas dan perlu dibayar secara berasingan jika diminta.
Peniaga berkenaan mempertahankan kaedah tersebut dengan menyatakan mereka hanya meletakkan lauk tambahan sekiranya pelanggan mahukan.
“Kami tak buh bilis atau teloq kalau orang tak mau, sebab tu kami kira asing-asing,” jelasnya.
Katanya lagi, dalam tempoh lebih dua tahun berniaga, tiada pelanggan pernah membuat aduan sehingga insiden itu berlaku. Malangnya, pelanggan lelaki tersebut didakwa bukan sahaja mempertikai harga, malah turut mengeluarkan kata-kata kesat.
Baca juga:
Netizen pertikai: bilis dan telur dah sinonim dengan nasi lemak
Bagaimanapun, hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan pendekatan peniaga tersebut. Ramai yang berpendapat nasi lemak secara tradisinya sudah dianggap satu set lengkap yang mengandungi nasi, sambal, ikan bilis, telur, timun dan kacang, serta semua itu sepatutnya termasuk dalam harga asas.
Menurut mereka, jika lauk seperti ikan bilis dan telur pun dikira asing, ia bukan lagi nasi lemak seperti yang biasa dibeli. Ada juga yang menyifatkan tindakan peniaga mengasingkan harga untuk bahan asas itu sebagai tidak masuk akal, malah menyamakan ia seperti menjual nasi kosong atau “nasi sambal” semata-mata.
Sebahagian pula berkongsi pengalaman membeli nasi lemak di tempat lain yang mana bilis dan telur memang sudah termasuk dalam harga dan hanya lauk tambahan seperti ayam atau sotong yang dikenakan bayaran lebih.
The post Peniaga pertahan bilis & telur kena caj asing, netizen balas: ‘Tu nasi sambal, bukan nasi lemak’ appeared first on The Reporter.





