
SABAH merekodkan hampir satu juta ketibaan pelancong dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, meningkat 77.1 peratus berbanding 558,169 pelawat dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata 988,680 pelancong dalam dan luar negara melawat Sabah tahun ini sehingga Mei. Anggaran penerimaan pelancongan yang dijana ialah RM2.02 bilion.
Beliau berkata jelas bahawa sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh dan untuk beberapa tahun akan datang.
“Daripada 988,680 pelawat, 282,450 adalah pelancong antarabangsa manakala 706,230 adalah pelancong domestik.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more “Tahun ini, Kerajaan Negeri menjangkakan 2.2 juta pelancong yang dijangka menjana pendapatan RM4.1 bilion,” katanya pada majlis pelancaran Festival Sandakan di Dataran Bandar Sandakan, Sandakan, pada 5 Ogos lalu. Ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Ketua Menteri berkata pembukaan semula sempadan negara memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor itu di Sabah.
“Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan inklusif khususnya promosi pelancongan dan pengembangan jaringan rangkaian udara.
“Pelbagai usaha sedang dilakukan ke arah menjadikan Sabah destinasi paling menarik di Malaysia,” kata Hajiji, sambil menambah setakat 1 Ogos, terdapat 122 penerbangan antarabangsa ke Sabah setiap minggu, manakala terdapat 353 penerbangan domestik.
Mengenai program itu, Hajiji berkata Festival Sandakan 2023 bertemakan “Jom Jelajah Sandakan” diberi perhatian dan keutamaan sebagai salah satu usaha menarik kembali kedatangan pelancong ke Sabah, selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia lebih dua tahun lalu.
Katanya, sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri dan Lembaga Pelancongan Sabah membuktikan kerajaan sentiasa memberikan komitmen dan sokongan padu khusus untuk memajukan industri pelancongan di negeri ini.
“Sandakan sendiri mempunyai banyak destinasi pelancongan yang dikenali bukan sahaja oleh penduduk tempatan tetapi juga pelancong antarabangsa.
“Daerah ini terkenal sebagai pintu masuk ke destinasi eko-pelancongan di Sabah contohnya, Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Taman Pulau Penyu serta Pusat Konservasi Beruang Matahari Borneo, Santuari Monyet Proboscis Teluk Labuk, Denai Warisan Sandakan, Taman Memorial Sandakan dan Kuil Puh Jih Shih,” katanya.
Walaupun pada masa ini tiada data ketibaan pelawat mengikut daerah, Hajiji berkata jumlah pengunjung di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok sebagai tarikan utama di Sandakan boleh dijadikan penunjuk.
“Sejak Januari hingga Jun 2023, seramai 56,794 orang melibatkan 28,501 pelancong domestik dan 28,293 pelancong antarabangsa datang ke pusat itu.
“Justeru, saya meminta semua rakyat Sandakan terus memberi sokongan penuh agar festival tahun ini menjadi titik tolak bermulanya transformasi terhadap industri pelancongan di daerah ini.
“Saya juga mengajak semua pemain industri pelancongan, usahawan, penggiat seni, budaya dan sukan, badan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing demi menjadikan Sandakan sebagai destinasi pelancongan yang popular,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata beliau mahu Majlis Perbandaran Sandakan dan semua pihak berkaitan menggandakan usaha dalam menambah baik infrastruktur dan kemudahan di daerah ini termasuk kebersihan antara perkara yang perlu diberi perhatian serius.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

