Untung bersih S P Setia jatuh 46% kepada RM43 juta bagi 2QFY23
diyana
16/08/2023 - 15:39
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Keuntungan bersih S P Setia Bhd telah merosot 46% kepada RM43 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding RM80 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Pendapatannya pada suku semasa yang berakhir 30 Jun 2023 itu juga menurun 7% kepada RM942 juta daripada RM1.02 bilion setahun lalu.
Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu turut menyusut kepada 1.06 sen daripada 1.97 sen sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, S P Setia menyatakan bahawa prestasi lemah pada 2QFY23 terutamanya disebabkan segmen hartanah yang menyaksikan penurunan sumbangan dari Singapura dan wilayah Tengah.
Selain itu, segmen tersebut terjejas oleh peningkatan kos pembiayaan daripada kenaikan kadar faedah, pergerakan pertukaran mata wang asing yang tidak menggalakkan dan kerugian yang lebih tinggi daripada usaha samanya.
Secara kumulatif, S P Setia mencatat keuntungan bersih RM98.5 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), menyusut 33% daripada RM147.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatannya dalam 1HYFY23 pula meningkat 1.3% kepada RM1.91 bilion berbanding RM1.89 bilion sebelumnya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, S P Setia berkata ia telah mencatatkan jumlah jualan RM2.56 bilion pada separuh pertama 2023 dengan projek tempatan menyumbang RM2.19 bilion atau 86% daripada jualan. Setakat 30 Jun 2023, S P Setia berkata ia telah memperoleh jumlah tempahan sebanyak RM470 juta.
“Prestasi kukuh S P Setia pada separuh pertama tahun ini menunjukkan komitmen berterusan kami untuk melaksanakan pembangunan dan penyelesaian berkualiti tinggi.
"Kami gembira dengan keputusan positif ini, yang mencerminkan permintaan kukuh untuk projek kami, di peringkat tempatan dan antarabangsa," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai.

Mengulas mengenai prospek kumpulan, S P Setia berkata keterlihatan pendapatan kumpulan dalam jangka pendek hingga sederhana adalah kukuh dengan 44 projek sedang berjalan dan jualan belum dibilkan berjumlah RM6.82 bilion setakat 30 Jun 2023.
“Walaupun cabaran global timbul akibat inflasi berterusan dan kadar faedah yang lebih tinggi, kumpulan itu kekal optimistik untuk mencapai prestasi yang patut diberi perhatian bagi tahun kewangan 2023,” tambahnya. - DagangNews.com

