Peningkatan Caj Elektrik, Sarawak Energy Beri Penjelasan Penggunaan Meter Pintar

22 Sep 2024 • 5:56 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Orang ramai mengalami peningkatan caj elektrik baru-baru ini

Peningkatan Caj Elektrik, Sarawak Energy Beri Penjelasan Penggunaan Meter Pintar. Baru-baru ini dilaporkan, Sarawak Energy telah menjelaskan bahawa masyarakat sedang mengalami kenaikan caj elektrik yang berkait dengan penggunaan meter pintar baharu yang lebih tepat dalam merekodkan penggunaan tenaga.

Menurut Sarawak Energy, kenaikan bil ini juga adalah kerana meter lama yang kurang tepat dalam merekod penggunaan dan perubahan bermusim dalam penggunaan tenaga.

image is not available
Peningkatan Caj Elektrik, Sarawak Energy Beri Penjelasan Penggunaan Meter Pintar. Sumber foto: M-Update

Kenaikan caj berkaitan dengan ketepatan meter baharu

Sarawak Energy menjelaskan bahawa pihak mereka memahami kebimbangan orang ramai mengenai pemasangan meter pintar dan ingin menjelaskan bahawa kenaikan caj ini berkaitan dengan ketepatan meter baharu. Meter lama mungkin tidak merekodkan penggunaan tenaga dengan tepat, manakala meter pintar memberikan bacaan lebih tepat, yang boleh menyebabkan caj lebih tinggi.

Sejak pemasangan meter pintar secara percuma di seluruh Sarawak, kira-kira tujuh peratus daripada meter yang diganti mendapati terdapat tunggakan. Tunggakan ini hanya dikenakan apabila ketidaktepatan bacaan dikesan pada meter lama, mengikut peraturan yang ditetapkan.

Dikatakan juga bahawa pelanggan yang menerima notis tunggakan telah diberikan penjelasan, dan mereka yang ada pertanyaan boleh mengunjungi kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy untuk bantuan lanjut.

image is not available
Sumber foto: Utusan Borneo

Menawarkan banyak manfaat kepada pengguna

Meter pintar ini dikatakan menawarkan banyak manfaat kepada pengguna, seperti ketepatan bacaan dan pengesanan penggunaan tenaga secara masa nyata. Ini memastikan bil yang diterima mencerminkan penggunaan tenaga sebenar, mengelakkan ralat bacaan manual dan mempertingkatkan ketelusan dalam pengebilan.

Dengan data yang lebih tepat, pelanggan boleh menguruskan penggunaan tenaga dengan lebih baik dan berpotensi mengurangkan kos elektrik. Pelanggan juga diingatkan untuk memastikan alamat e-mel yang berdaftar dikemas kini bagi menerima bil tepat pada masanya.

image is not available
Sumber foto: Forbes

Sentiasa memeriksa e-mel, aplikasi SEB cares

Pelanggan dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa e-mel, aplikasi SEB cares, atau portal web bagi memastikan bil dibayar tepat pada masa untuk mengelakkan gangguan perkhidmatan. Pelanggan juga harus memastikan sebarang pembayaran telah berjaya dan dikreditkan ke akaun elektrik mereka.

Untuk penyambungan semula bekalan, pembayaran perlu dilakukan melalui saluran yang sah seperti aplikasi SEB cares atau kiosk pembayaran bagi mempercepatkan proses.

Jika menghadapi masalah, pelanggan boleh mengunjungi kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy atau menghubungi pusat khidmat pelanggan di 1-300-88-3111, atau e-mel customercare@sarawakenergy.com, atau menggunakan aplikasi SEB cares untuk bantuan.

Lagi artikel berkaitan untuk anda di sini: