Peningkatan kes buli cetus inspirasi filem ‘Is Not a Joke’

LocalMovie
11 Aug 2026 • 5:25 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peningkatan kes buli cetus inspirasi filem ‘Is Not a Joke’

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit, Captain Denil Choong Lin Loong, berkata, kebimbangan terhadap peningkatan kes buli di sekolah mendorongnya untuk menghasilkan filem Is Not a Joke.

Jelas Denil, usaha itu dilakukan selepas melihat kejayaan filem sindiket pelaburan, Oppa sebelum ini meraih Anugerah Filem Malaysia terbaik di Festival Filem Antarabangsa Asia, Macau pada 2024.

“Tahun lalu, kes buli di sekolah meningkat. Saya beritahu pihak polis, mengapa tidak kita beri laluan kepada isu buli terlebih dahulu? Pihak polis bersetuju kerana ini adalah isu mendesak yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

“Kita ambil inspirasi daripada kes-kes yang berlaku, namun ia diolah secara fiksyen. Saya tidak mahu naskhah ini mengguris kembali hati keluarga mangsa untuk kali kedua jika ia dipaparkan secara bulat-bulat.

“Malah, judul Is Not a Joke dipilih kerana sering kali pelaku buli menggunakan alasan ‘hanya bergurau’ selepas mencederakan atau menyakiti mangsa mereka. Saya mahu tegaskan bahawa buli bukan satu gurauan,” katanya ketika ditemui di majlis peluncuran trailer Is Not A Joke, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, pada Selasa.

Mengulas mengenai proses pembikinan, Denil berkata filem tersebut menjalani penggambaran selama 33 hari di beberapa lokasi strategik seperti Pusat Latihan Polis (Pulapol), Menara KPJ dan Bukit Aman.

Malah anggota polis sebenar  turut terlibat  menjayakan beberapa babak agar lebih realistik.

Sebagai usaha mengurangkan kes buli, filem ini menyasarkan jelajah ke 100 buah sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk tayangan percuma bagi mendidik pelajar tentang impak negatif buli.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah sekolah di Malaysia.

“Program ini akan turut disertai oleh pihak polis, CyberSecurity Malaysia dan agensi berkaitan yang akan memberikan ceramah kesedaran ringkas kepada pelajar,”

Filem berbahasa Mandarin  Is Not a Joke dijangka akan menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini atau sempena musim cuti persekolahan dan Tahun Baru Cina akan datang. -UTUSAN

The post Peningkatan kes buli cetus inspirasi filem ‘Is Not a Joke’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved