
SHAH ALAM - Sebanyak 51,638 kandungan memudaratkan dalam media sosial dan platform 'over the top' (OTT) direkodkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 8,734 berbanding 42,904 kes sepanjang tahun lalu.
Agensi itu memaklumkan, kesemua kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian terlibat untuk tindakan lanjut.
"Penyedia platform turut diminta menangani kandungan berkaitan 3R (agama, raja dan kaum) secara efektif dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.
"Selain itu TikTok dan Meta digesa untuk membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun, memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan seperti scam dan perjudian haram dalam talian," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurut SKMM, satu mesyuarat bersama wakil kedua-dua platform media sosial itu juga telah diadakan untuk memastikan pemantauan kandungan dilakukan dengan lebih holistik dan proaktif.
Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil itu, TikTok dan Meta telah diminta meningkatkan usaha pemantauan termasuk penambahbaikan terhadap keselamatan, khususnya melakukan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform berkenaan.
Tindakan tersebut bagi memastikan kanak-kanak tidak terpengaruh dengan kandungan memudaratkan di media sosial.
"Pada masa sama melihat semula kecekapan algoritma yang memacu kecerdasan buatan dan keupayaan pembelajaran mesin bagi mengesan kandungan 3R, kelakuan tidak sahih tersusun atau sebarang kandungan memudaratkan.
"TikTok dan Meta telah disyaratkan untuk menyediakan pelan penambahbaikan dan strategi dengan butiran menyeluruh sebagaimana dipersetujui dalam mesyuarat," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

