Peningkatan penggunaan baja diramal lonjak kos pengeluaran Genting Plantations pada 2HFY25 - penganalisis

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2025 • 3:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peningkatan penggunaan baja diramal lonjak kos pengeluaran Genting Plantations pada 2HFY25 - penganalisis

image is not available

28/08/2025 - 15:58

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Genting Plantations Berhad diramal berdepan kos pengeluaran yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25) berikutan peningkatan penggunaan baja.

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, keuntungan teras syarikat berjumlah RM203.7 juta bagi 1HFY25, iaitu 61% daripada jangkaan pihaknya.

“Walaupun keputusan ini lebih kukuh daripada jangkaan, kami tidak membuat sebarang perubahan pada unjuran pendapatan kerana menjangkakan kos pengeluaran yang lebih tinggi pada 2HFY25 berikutan peningkatan penggunaan baja,” katanya dalam satu nota kajian.

PublicInvest berkata, Genting Plantations mengekalkan sasaran pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (BTS) antara 3% hingga 5% walaupun mencatatkan sedikit penurunan pada enam bulan pertama.

Katanya, penggunaan baja mencapai 33% pada separuh pertama tahun ini disebabkan corak cuaca yang tidak menggalakkan, manakala kos baja dijangka mencatat penurunan dua angka rendah pada tahun ini.

Jumlah jualan belum dibil Genting Plantations adalah sebanyak RM188 juta dengan stok tidak terjual bernilai RM490 juta.

"Pihak pengurusan juga memaklumkan mereka telah membuat peruntukan susut nilai sehingga 80% daripada nilai buku untuk tanah di Indonesia yang mungkin akan dipulangkan kepada pihak berkuasa.

"Masih belum dapat dipastikan sama ada akan ada lagi peruntukan untuk ladang tersebut di bawah bidang kuasa perhutanan,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" terhadap saham tersebut dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM5.61 sesaham.

Keputusan Genting Plantations juga adalah sejajar dengan jangkaan Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan utama syarikat termasuk keuntungan daripada pelupusan tanah sekali gus mengimbangi kerugian susut nilai yang tidak dijangka.

Maybank IB, menjangkakan pendapatan teras yang lebih rendah bagi syarikat pada separuh kedua tahun ini memandangkan peningkatan hasil berkemungkinan diimbangi oleh harga jualan purata yang lebih rendah serta kos yang lebih tinggi.

"Kami mengurangkan unjuran keuntungan FY25 sebanyak 26% selepas mengambil kira kerugian susut nilai pada suku kedua yang berkaitan dengan ladang di Indonesia.

“Kami mengandaikan kadar pembayaran dividen sebanyak 70% daripada untung teras kami, yang memberikan hasil dividen kurang 5%,” katanya.

Firma itu memberikan saranan "beli" dengan TP RM6.89 sesaham.- DagangNews.com

standard