
KOTA BHARU - Polis Kelantan menerima 94 laporan berkaitan penipuan dalam talian menggunakan modus operandi ‘tiga penjuru’, dengan 66 kertas siasatan dibuka setakat ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, modus operandi itu menyaksikan penjenayah menyalahgunakan iklan barangan milik penjual sebenar untuk memperdaya pembeli dalam talian.
Menurutnya, 75 laporan dibuat oleh pembeli yang menjadi mangsa penipuan, manakala 19 lagi adalah daripada penjual sebenar yang mendapati iklan mereka disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Tumpat merekodkan jumlah laporan tertinggi iaitu 35, diikuti Kota Bharu sebanyak 22,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Yusoff berkata, penjenayah akan menyalin atau menggunakan butiran daripada iklan yang sah sebelum menghubungi bakal pembeli dan menyamar sebagai penjual.
Mangsa kemudiannya diarahkan membuat pembayaran ke akaun yang dikawal penipu, tanpa menyedari mereka sebenarnya berurusan dengan individu yang menyamar.
“Penjenayah menerima bayaran, pembeli mengalami kerugian, manakala penjual sebenar pula terbabit dalam urus niaga yang langsung tidak diketahuinya.
“Antara barangan yang dilaporkan termasuk motosikal, kereta, kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti dan menahan suspek yang terlibat.
Sehubungan itu, Mohd Yusoff menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat pembayaran, terutama apabila ditawarkan barangan pada harga yang jauh lebih rendah daripada biasa.
“Pastikan identiti penjual, pemilikan barangan dan akaun penerima bayaran benar-benar sepadan sebelum meneruskan urus niaga.
“Ingat, barangan itu mungkin benar-benar wujud, tetapi individu yang sedang berurusan dengan anda mungkin seorang penjenayah,” katanya.
Orang ramai yang telah membuat transaksi dan menyedari mereka menjadi mangsa penipuan dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta membuat laporan polis. - Getaran, 20 September 2026






