
KOTA BHARU – Luka hiris dan tetakan pada leher dipercayai menjadi punca kepada kematian seorang remaja etnik Rohingya di sebuah rumah kongsi berhampiran tanah perkuburan Islam dekat Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 18 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
Katanya, pemeriksaan terhadap mangsa mendapati lelaki itu mengalami luka-luka hiris dan kesan tetak pada bahagian lehernya.
“Susulan daripada kejadian itu, polis menjalankan serbuan di sebuah rumah taman sama sebelum menahan seorang lelaki bersama tiga etnik Rohingya termasuk seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun untuk membantu siasatan.
“Kesemua individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Selain itu, sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton dan empat buah telefon bimbit turut dirampas daripada keempat-empat individu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, kesemua individu itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE
The post Luka hiris, tetak pada leher punca remaja Rohingya maut di rumah kongsi appeared first on Kosmo Online.





