Penipuan dalam talian: Kerugian lebih RM7 bilion sejak 2023

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 3:57 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penipuan dalam talian: Kerugian lebih RM7 bilion sejak 2023

SHAH ALAM, 25 NOV: Sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM7.33 bilion direkodkan sejak 2023 hingga Oktober lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam tempoh itu, seramai 75,266 individu ditahan, manakala 69,665 pertuduhan dilakukan.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, sebanyak 56,802 kes direkodkan dengan kerugian RM1.56 bilion, manakala 20,842 individu ditangkap.

“Data ini menunjukkan bahawa trend jenayah penipuan dalam talian semakin meningkat,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Klang Ganabatirau Veraman (HARAPAN) berhubung perkembangan usaha membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai, termasuk jumlah kerugian rakyat sejak 2023.

Saifuddin berkata penggunaan akaun keldai menjadi antara elemen penting dalam operasi sindiket penipuan dengan 254,546 akaun dikesan dan 137,699 akaun didakwa sejak 2023 hingga Oktober tahun ini.

Terdapat enam corak penipuan dalam talian iaitu jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, penipuan cinta, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

“Dari segi profil mangsa, golongan wanita lebih ramai menjadi mangsa berbanding lelaki. Bagi setiap 10 mangsa, enam orang ialah wanita manakala empat orang lagi lelaki,” katanya.

Mengulas tahap kesedaran masyarakat, beliau berkata program penerangan berterusan menunjukkan keberhasilan apabila Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) merekodkan sehingga 30,000 panggilan pada Oktober sahaja.

Tambahnya, kerajaan turut memperkukuh kerjasama dengan Interpol, Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan negara ASEAN dalam usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved