Rakyat Malaysia rugi RM7.33 bilion kena tipu ‘scammer’, RM3.4 bilion libatkan pelaburan tidak wujud

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 12:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rakyat Malaysia rugi RM7.33 bilion kena tipu ‘scammer’, RM3.4 bilion libatkan pelaburan tidak wujud Image from: Rakyat Malaysia rugi RM7.33 bilion kena tipu ‘scammer’, RM3.4 bilion libatkan pelaburan tidak wujud sarah25/11/2026 - 12:28 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Rakyat Malaysia mengalami kerugian RM7.33 bilion akibat diperdaya ‘scammer’ atau sindiket penipuan dalam talian bagi tempoh Januari 2023 hingga Oktober 2026, dengan pelaburan tidak wujud menyumbang kerugian tertinggi sebanyak RM3.4 bilion atau 46.4% daripada jumlah keseluruhan kerugian.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan, dengan 75,266 individu ditahan dan 69,665 pertuduhan dibuat.

 

Dalam tempoh sama, pihak berkuasa turut mengesan sebanyak 254,546 akaun keldai, dengan 137,699 daripadanya melibatkan tindakan pendakwaan.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman di Dewan Rakyat hari ini mengenai perkembangan terkini usaha kerajaan membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai.

 

Pelaburan tidak wujud catat kerugian tertinggi

Saifuddin berkata, terdapat enam jenis penipuan dalam talian yang dikenal pasti, iaitu jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, penipuan cinta, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.

 

Walaupun pelaburan tidak wujud melibatkan 27,863 kes, jumlah kerugiannya mencecah RM3.4 bilion, mengatasi jenayah telekomunikasi yang mencatatkan 73,043 kes dengan kerugian RM2.132 bilion, manakala jenayah e-dagang melibatkan 50,749 kes dengan kerugian RM509 juta.

 

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026 sahaja, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian dicatatkan dengan kerugian RM1.56 bilion, manakala 20,842 individu ditahan dan 18,369 individu didakwa.

 

Wanita lebih ramai menjadi mangsa, pelajar terlibat dalam akaun keldai

“Bagi setiap 10 mangsa, enam orang perempuan, empat orang lelaki,” kata Saifuddin, sambil menjelaskan bahawa trend jenayah berkenaan semakin meningkat dan kebanyakan mangsa merupakan pekerja sektor swasta.

 

Beliau turut mendedahkan bahawa ramai pelajar terlibat dalam kesalahan membenarkan akaun mereka digunakan sebagai akaun keldai, susulan kebergantungan sindiket penipuan terhadap akaun berkenaan untuk menjalankan kegiatan jenayah.

 

NSRC terima 1,000 panggilan sehari

Saifuddin menegaskan bahawa tindakan segera mangsa membuat laporan amat penting bagi membolehkan polis dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menyekat akaun berkaitan menerusi National Fraud Portal dalam tempoh kritikal bagi menyelamatkan wang mangsa.

 

Pada Oktober 2026 sahaja, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima sehingga 30,000 panggilan atau kira-kira 1,000 panggilan sehari, berbanding 300 hingga 400 panggilan sehari sebelum pelaksanaan NSRC dan talian 997.

 

Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, beliau turut menggalakkan orang ramai menyemak nombor telefon atau akaun bank yang mencurigakan menerusi portal Semak Mule, yang mencatatkan 78 juta pelawat sejak diperkenalkan pada Oktober 2020 hingga Oktober 2026. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved