Penipuan Dalam Talian: Kes, Kerugian Terus Meningkat - Timbalan Menteri

LocalTechnology
22 May 2026 • 6:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Penipuan Dalam Talian: Kes, Kerugian Terus Meningkat - Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR — Trend kes penipuan dalam talian di negara ini menunjukkan peningkatan membimbangkan, apabila jumlah kes serta kerugian yang direkodkan terus meningkat setiap tahun.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,470 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun 2024 dengan jumlah kerugian mencecah RM1.5 bilion.

Beliau berkata angka itu meningkat lebih dua kali ganda pada tahun 2025 kepada 74,744 kes, dengan jumlah kerugian sebanyak RM2.9 bilion.

“Ini menunjukkan bahawa ancaman jenayah siber semakin serius dan memerlukan tindakan yang menyeluruh,” katanya.

Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, dari Januari hingga April 2026, sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian dilaporkan dengan jumlah kerugian RM680.3 juta, katanya ketika berucap pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Kuching, Sarawak hari ini.

Beliau berkata,  ancaman dunia siber kini bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah turut merangkumi penyebaran kandungan negatif seperti buli siber, kandungan lucah, perjudian dalam talian dan berita palsu.

“Isu buli siber dan gangguan dalam talian turut berada pada tahap kritikal apabila sebanyak 59,290 permohonan tindakan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 2022 hingga April 2026,” katanya.

Menurut Nie Ching, sebanyak 44,676 kandungan telah diturunkan oleh platform berkaitan bagi melindungi emosi dan keselamatan pengguna Internet, khususnya golongan rentan dan kanak-kanak.

“Data ini menunjukkan bahawa isu keselamatan dalam talian dan penyalahgunaan kandungan masih memerlukan perhatian berterusan bagi memastikan persekitaran Internet yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, MCMC hari ini telah menerbitkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), iaitu Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) dan Kod Mitigasi Risiko (RMC).

Beliau berkata pelaksanaan CPC dan RMC yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 menetapkan jangkaan serta tanggungjawab yang jelas kepada penyedia perkhidmatan dalam menangani kandungan berbahaya, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.

“Melalui penguatkuasaan kod ini, kita melaksanakan prinsip ‘keselamatan melalui reka bentuk’, termasuk langkah kawalan umur serta sekatan akaun digital bagi pengguna di bawah umur 16 tahun,” katanya. - Getaran, 22 Mei 2026