Kes penipuan pembelian dalam talian melonjak pada 2024 dengan lebih 35,000 kes dan kerugian RM1.6 bilion. Lembah Klang kekal sebagai kawasan paling terjejas yang menyumbang 40% daripada jumlah kes. Dalam suku pertama 2025 sahaja, lebih 3,500 kes telah dilaporkan menjadikannya rekod tertinggi bagi satu suku tahun setakat ini.

Untuk membanteras penipuan pembelian dalam talian, Ninja Van Malaysia telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui memorandum persefahaman (MoU). Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna serta mengukuhkan penguatkuasaan bagi melindungi pembeli dalam talian.
Ninja Van telah mengenal pasti tiga bentuk utama penipuan berkaitan bungkusan yang sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya pengguna. Salah satu daripadanya ialah penipuan bayar semasa terima, di mana mangsa dipaksa membayar bungkusan yang tidak pernah dipesan seringkali mengandungi barangan tidak berharga atau kosong.

Ghost Scam pula melibatkan penipu yang menyamar sebagai penghantar menggunakan bungkusan palsu untuk meyakinkan mangsa supaya membuat pembayaran atau memberikan maklumat peribadi. Pishing melalui SMS dan pautan palsu membolehkan data peribadi pengguna dicuri melalui mesej serta pautan yang direka untuk kelihatan sahih tetapi sebenarnya digunakan bagi memperdaya mangsa dalam transaksi tidak sah.

Penipuan pembelian dalam talian turut menjadi cabaran utama dalam siasatan jenayah komersial dengan Tribunal Tuntutan Pengguna berperanan membantu mangsa mendapatkan keadilan. Sindiket penipuan semakin terancang yang beroperasi seperti syarikat korporat dengan jabatan khusus seperti sumber manusia, pemasaran, dan latihan. Lebih mengejutkan, ada mangsa yang memilih untuk kembali bekerja dengan sindiket kerana tawaran pendapatan yang tinggi.

Kerjasama antara Ninja Van dan PDRM diharap dapat meningkatkan perlindungan pengguna serta kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan kurier. Oleh itu, orang ramai disarankan agar lebih berwaspada ketika berurusan dalam talian dengan menyemak kesahihan penjual serta setiap transaksi dilakukan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.


