Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan tindakan penguat kuasa terhadap penjaja belon tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada malam 28 Mac, susulan tularnya sebuah video yang mencetuskan pelbagai reaksi awam.
Menurut DBKL, semasa rondaan penguat kuasa sekitar jam 11.50 malam, beberapa penjaja tanpa lesen dikesan menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki hingga menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan, lebih-lebih lagi dalam suasana persiapan Aidilfitri.
Seperti kebiasaan, DBKL memaklumkan teguran diberikan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil. Kebanyakan penjaja memberi kerjasama dan beredar, namun seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan walaupun sudah ditegur dua kali.
Ketika teguran ketiga dibuat, penjaja tersebut bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa, menyebabkan berlaku sentuhan fizikal. Bagi mengawal keadaan, pasukan preman DBKL segera campur tangan bagi mengelakkan kekasaran berlanjutan. Insiden turut menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba masuk campur, namun keadaan berjaya diredakan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
- Prince Syed belanja RM1.5 juta untuk persiapan raya, baju isteri bertatah Swarovski bernilai RM830,000
- Chery sedia 50 kereta untuk kegunaan sementara mangsa kebakaran paip gas Putra Heights
- Pemilik rumah terjejas kebakaran saluran gas terima RM5,000, murid dan guru KPM dapat RM1,000
- Projek berhampiran lokasi letupan Putra Heights diluluskan pihak berkuasa, bukan dalam laluan paip gas
- Polis siasat dakwaan kerja korek tanah punca kebakaran saluran gas di Putra Heights
DBKL menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen serta mengganggu ketenteraman awam. Lokasi seperti Jalan TAR adalah tumpuan ramai, justeru penguatkuasaan adalah penting demi kelancaran dan keselamatan pengunjung.
Siasatan dalaman juga akan dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada semua anggota terlibat. DBKL turut memaklumkan akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berulang. Laporan polis juga telah dibuat oleh penguat kuasa terlibat.
Akhir sekali, DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini tidak melibatkan sebarang motif perkauman, sebaliknya berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan. Orang awam diminta tidak menyebarkan sentimen negatif yang boleh merumitkan keadaan.
The post Penjaja belon tanpa lesen bertindak agresif tolak penguat kuasa DBKL di Jalan TAR appeared first on The Reporter.



