
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam (28 Mac) kecoh di media sosial video video pergelutan di antara seorang peniaga belon dan beberapa penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menerusi video tersebut, pergelutan antara kedua-dua pihak kemudiannya meruncing selepas beberapa penjaja dan orang awam di kawasan berkenaan masuk campur bagi menenangkan keadaan kerana tidak berpuas hati dengan cara penguat kuasa menahan penjual belon terbabit.
Isu berkenaan ternyata menarik perhatian ramai di mana rata-rata mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) DBKL dalam menguruskan peniaga tanpa lesen.
Malah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut menyifatkan kekasaran yang ditunjukkan oleh penguat kuasa DBKL adalah tidak wajar.
Rapper dan aktivis, Caprice turut menzahirkan rasa tidak puas hatinya dengan apa yang berlaku.
Peniaga belon tidak berlesen, sudah diberi 3 teguran namun bertindak agresif – DBKL
Terbaharu DBKL tampil memberikan penjelasan berhubung apa yang berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) itu.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah memberikan teguran sebanyak tiga kali kepada peniaga belon tidak berlesen berkenaan. Namun sebaik teguran ketiga diberikan, penjaja itu mula bertindak agresif dengan menolak petugas penguat kuasa.
Tindakannya menyebabkan anggota penguat kuasa berpakaian preman cuba memisahkan penjaja terbabit daripada mengasari petugas. Ini bagi mengelakkan kemungkinan lain daripada berlaku, kata DBKL.
“Kehadiran penjaja tanpa lesen di laluan pejalan kaki Jalan TAR telah menyebabkan kesesakan dan menghalang pergerakan orang ramai terutama ketika musim persiapan sambutan Aidilfitri.
“Seperti amalan biasa, DBKL akan memberikan teguran terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil. Penjaja tanpa lesen lain telah memberikan kerjasama dan beredar dari kawasan tersebut.
“Tetapi seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali, malah bertindak agresif ketika teguran kali ketiga.”
Situasi tegang tapi berjaya dikawal
Tambah DBKL lagi, situasi turut menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan. Namun keadaan berjaya ditangani tidak lama kemudiannya.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. DBKL akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat.
“Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielak dari berlaku.”
Penguat kuasa terlibat buat laporan polis
Mengulas lebih lanjut, DBKL memaklumkan anggota penguat kuasa yang terlibat juga sudah membuat satu laporan polis.
Perkara sama turut disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang memaklumkan laporan dibuat pada hari ini (29 Mac).
DBKL dalam masa sama turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum.
“Penguatkuasaan adalah berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang motif perkauman.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah serta mengganggu ketenteraman awam.
“Kawasan Jalan TAR merupakan lokasi tumpuan ramai, lebih-lebih lagi untuk membuat persiapan akhir menyambut Syawal dan DBKL bertanggungjawab memastikan keselamatan, kelancaran pergerakan orang awam serta pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
“DBKL memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan selain turut menyeru agar peraturan yang ditetapkan dipatuhi,” katanya.


