Penjara 7 tahun, sebatan angkara cabul kanak-kanak warga Australia

13 Jan 2024 • 12:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang pekerja kontrak pembinaan resort dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas kesalahan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak warga Australia berusia sembilan tahun di pulau Mabul, Semporna.

Nielhan Abdullah, 25, yang tidak mempunyai dokumen mengaku bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad, melakukan perbuatan itu di dalam bilik di Villa 7, Borneo Divers Mabul Resort, pukul 7.45 petang, pada 2 Okt, 2022.

Nielhan, bapa kepada tiga anak, pada mulanya diperintahkan membela diri pada Jumaat tetapi memaklumkan mahkamah bahawa dia ingin menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan, Nielhan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Mabul pada jam 3.30 pagi hari sama susulan laporan polis dibuat bapa kanak-kanak itu, 52, selepas diberitahu oleh anak perempuannya tentang kejadian tidak senonoh berkenaan.

SPONSORED CONTENT RM20bil green steel project: Sabah on its way to adopting green technology, says Hajiji Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said Sabah is well on its way to fully adopting the green technology revolution with a RM20 billion green steel project at the Sipitang Oil and Gas Industrial Park (Sogip). Read more Siasatan mendapati, sebelum kejadian, mangsa bermain dengan kucing seorang diri sebelum dihampiri Nielhan yang bertanyakan mangsa sama ada mahu melihat kucing putih.

Mangsa bersetuju dan mengikut Nielhan ke sebuah bilik di resort berkenaan dan kemudian berpura-pura mencari kucing apabila sampai di bilik itu.

Nielhan turut bertanyakan jantina mangsa sebelum menyuruhnya berbaring di atas tilam selepas mangsa memberitahu dia seorang perempuan.

Nielhan kemudian mencabul mangsa dan turut memberitahunya agar tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu sebelum keluar dari bilik.

Mangsa memberitahu bapanya tentang kejadian itu.

Mahkamah diberitahu mangsa mengenal pasti Nielhan semasa kawad cam yang dijalankan pada 3 Okt, 2022.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad meminta hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada Nielhan.

Katanya, jenayah yang dilakukan Nielhan itu adalah serius kerana membabitkan kanak-kanak yang masih trauma walaupun mereka sudah pulang ke Australia.

“Hakikatnya, pendakwaan tidak nampak ada unsur keinsafan dalam diri Nielhan kerana tidak menyerah diri, sebaliknya melarikan diri selepas kejadian itu,” katanya.

Nielhan didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun dan diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menamatkan hukumannya.

Nielhan diwakili peguam Datu Baginda Datu Laja.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.