Penjara lima tahun, tiga sebatan ekoran rompak wanita 

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 5:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu selepas mengaku bersalah merompak beg tangan seorang wanita.

Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zainie Sabli setelah dia mengaku melakukan rompakan terhadap mangsa berusia 23 tahun.

Mohd Zainie bersama seorang lagi rakan subahat yang masih bebas melakukan kesalahan itu pada jam 11.21 malam, 25 Ogos tahun ini di dalam sebuah kereta yang diletakan di kawasan Pisang Goreng Erma, belakang Golden Putatan di Putatan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapannya. Mohd Zainie yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan dia mempunyai tiga orang anak untuk ditanggung selepas bercerai dengan isterinya.

Dia turut menyatakan kesediaan menerima hukuman sebatan sekiranya dapat memendekkan tempoh penjara.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman berat dikenakan memandangkan kesalahan itu serius dan sering berlaku kebelakangan ini.

Menurut fakta kes kejadian berlaku ketika mangsa sedang berehat di dalam keretanya sebelum sebuah kereta berhenti berhampiran.

Dua lelaki keluar dari kereta berkenaan dan salah seorang cuba mencongkel tingkap kereta mangsa manakala seorang lagi menumbuk cermin tersebut dua kali.

Selepas berjaya membuka tingkap kedua-dua lelaki itu — salah seorang kemudian dikenal pasti sebagai Lajah merampas beg tangan mangsa dan melarikan diri.

Berikutan laporan polis yang dibuat Mohd Zainie ditangkap pada 24 September tahun ini.