Penjawat awam boleh bekerja dua hari dari rumah mulai Ogos

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 7:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penjawat awam boleh bekerja dua hari dari rumah mulai Ogos
Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh ketua jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju dengan pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2026.

Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu kenyataan berkata, penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh ketua jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, bagi negeri-negeri di mana Hari Kelepasan Mingguan (HKM) adalah hari Ahad, kakitangan awam diwajibkan hadir ke pejabat pada Isnin dan Jumaat.

"Manakala negeri-negeri di mana HKM adalah hari Jumaat (Kedah, Kelantan, Terengganu), hari Ahad dan Khamis sebagai hari kehadiran wajib ke pejabat.

"Perkhidmatan kaunter dan fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa. Ini termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan serta mahkamah.

"HBH merupakan satu inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa mengurangkan waktu bekerja.

"Pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting (essential services) kerajaan kepada rakyat," katanya pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, inisiatif HBH ini merupakan sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam.

Jelasnya, ia menerusi amalan kerja yang berorientasikan hasil dan memanfaatkan teknologi digital dengan sistem pemantauan yang akan memastikan integriti, prestasi serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.

"Kaedah bekerja secara hibrid turut dilaksanakan di negara seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden.

"Pelaksanaan HBH akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa.

"Garis panduan dan syarat pelaksanaan HBH akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat," ulasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved