Pratempahan GTA VI sudah boleh dilakukan pagi ini dengan ia dijual pada harga RM339 untuk versi biasa dan RM419 untuk Ultimate Edition Kedua-dua versi hanya boleh dimainkan bermula 19 November depan. Seperti dalam laporan sebelum ini, walaupun versi fizikal dibeli hari ini tiada cakera fizikal diberikan dalam kotak. Sebaliknya kod untuk muat turun sahaja diterima.

Sekiranya pratempahan dilakukan, pembeli menerima pek Vintage Vice City dan langganan GTA+ selama sebulan. Vintage Vice City menawarkan pakaian retro 1980an GTA Vice City (ala Tommy Vercetti) dan beberapa kenderaan juga dengan tema 80an.

Perbezaan antara GTA VI versi biasa dan Ultimate Edition ialah pelbagai akses kepada pakaian, corak tatu, kenderaan, kedai, kosmetik dan misi eksklusif. Permainan juga hanya menawarkan misi solo sahaja dengan GTA Online versi baharu belum lagi diumumkan bila ia boleh diakses.
Selepas harga jualan dan versi permainan diumumkan lewat malam semalam, Rockstar Games menerima kecaman kerana versi fizikal tidak menyertakan cakera fizikal. Tindakan mereka mengunci pakaian, corak tatu, kenderaan, kedai, kosmetik dan misi eksklusif hanya untuk Ultimate Edition juga dilihat sebagai usaha memaksa pembeli membeli edisi yang lebih mahal.




