SEREMBAN - Seorang penjawat awam akhirnya boleh menarik nafas lega apabila dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuanya berusia 16 tahun, dua tahun lalu.
Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie bagi dua pertuduhan terhadap tertuduh berusia 46 tahun yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Dalam penghakimannya di akhir kes pendakwaan, beliau memaklumkan keputusan berkenaan dibuat setelah meneliti keterangan semua saksi pendakwaan dan mempertimbangkan hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.
"Di dalam kes ini, pihak pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada keterangan mangsa dan tiada keterangan sokongan lain yang dikemukakan.
"Namun, dalam kes ini terdapat isu perceraian dan harta sepencarian selain perhubungan yang tidak baik antara kekeluargaan ini yang menyebabkan ibu mangsa memfailkan laporan polis tiga hari sebelum pertuduhan," katanya.
Tambahnya, boleh disimpulkan bahawa wujudnya permusuhan dan pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap tertuduh khususnya berkaitan penarikan balik Mahkamah Syariah.
Justeru katanya, mahkamah memutuskan adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri.
Tertuduh diwakili peguam S Kartikeyan dan M Gobinathan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk badan mangsa dan memaksanya mencium pipi tertuduh bagi maksud seksual.
Perbuatan berkenaan dilakukan pada 16 Jun 2024 dan 9 Julai 2024 di sebuah rumah di daerah Tampin.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 14(a) boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
