
Penjelasan Tentang Amalan Minum Air Pangsa Selepas Makan Durian
Setiap kali musim durian tiba, satu amalan yang sering kita lihat ialah meminum air pangsa durian sebaik selesai menikmati ‘raja buah’ ini.
Ada yang percaya ia dapat mengurangkan rasa panas badan, ada juga yang mengamalkannya bagi mengelakkan perut berasa tidak selesa. Persoalannya, adakah amalan ini sekadar kepercayaan turun-temurun atau sebenarnya ada asas saintifik?
Menurut mantan Timbalan Pengarah dan Saintis Utama di Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan, MARDI, Dr Suri Roowi, amalan meminum air pangsa durian bukanlah sekadar mitos.
Kulit & pangsa durian paling tinggi khasiat
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kebanyakan saintis, termasuk penyelidikan yang pernah dilakukan oleh Dr Suri Roowi sendiri, didapati bahawa bahagian kulit dan ari buah durian (pangsa putih) sebenarnya mengandungi khasiat yang sangat tinggi berbanding isi buahnya.
Kajian saintifik yang diterbitkan dalam Procedia Food Science pada 2015 mendapati bahawa kulit durian mempunyai sifat antidiabetis, iaitu berpotensi membantu dalam pengawalan paras gula dalam darah.
Selain itu, kulit durian juga kaya dengan enzim semula jadi, antaranya “polygalacturonase” yang mempunyai peranan penting dalam proses pencernaan dan kesihatan usus.
Pangsa durian mengandungi bahan antiradang
Kajian lanjut yang diterbitkan dalam dua jurnal saintifik pada 2021 dan 2022 pula mendapati bahawa pangsa durian (bahagian putih) mengandungi sejenis bahan dikenali sebagai “propacin”.
Bahan ini didapati mempunyai sifat antiradang, yang boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan.
Inilah antara sebab mengapa pengambilan air rendaman pangsa durian dipercayai mampu mengurangkan rasa panas badan serta ketidakselesaan perut selepas memakan durian.
Amalan minum air pangsa durian
Berdasarkan dapatan kajian ini, pengambilan air pangsa durian berkemungkinan membantu menyeimbangkan kesan ‘panas’ durian terhadap tubuh.
Ia bukan sahaja membantu dari sudut keselesaan perut, malah berpotensi menyokong kesihatan dalaman melalui kandungan sebatian bioaktif semula jadi.
Dr Suri Roowi turut mencadangkan:
- Mengasingkan pangsa durian
- Mengeringkannya
- Mengisar menjadi serbuk atau dijadikan teh
- Merendamnya menggunakan air suam sebelum diminum
Nikmati durian berpada-pada
Walau apa pun manfaatnya, satu perkara penting yang perlu diingat ialah durian perlu dimakan mengikut kadar dan tidak berlebihan. Pengambilan secara sederhana adalah kunci bagi menikmati khasiat tanpa memudaratkan kesihatan.
Sumber: Dr Suri Roowi
The post Penjelasan Tentang Amalan Minum Air Pangsa Selepas Makan Durian appeared first on Siakap Keli.



