
LABUAN: Seorang ahli akademik telah mencadangkan penjimatan besar daripada pemberhentian subsidi ayam bernilai RM3.8 bilion perlu disalurkan secara strategik kepada inisiatif utama untuk rakyat.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata peruntukan besar itu boleh disalurkan untuk mewujudkan atau meningkatkan program bantuan tunai, membina sekolah dan hospital, menaik taraf klinik usang dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Program bantuan tunai ini contohnya, boleh menjadi talian hayat kepada individu dan keluarga yang bergelut untuk memenuhi keperluan,“ katanya kepada Bernama hari ini.
Dr Romzi berkata penjimatan besar itu juga boleh disalurkan untuk pembinaan sekolah dan hospital terutama di kawasan luar bandar.
“Pelaburan strategik dalam infrastruktur pendidikan dan penjagaan kesihatan ini merupakan kunci kepada pembangunan keseluruhan negara...dan akan meningkatkan akses kepada perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk rakyat,” katanya.
Dr Romzi juga menekankan keperluan untuk menggunakan dana subsidi yang ditamatkan secara strategik untuk menyokong PKS, kerana perusahaan ini penting kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.
“Cadangan kami termasuk memperluas bantuan kewangan, latihan dan sumber untuk membantu PKS berkembang maju, yang seterusnya boleh merangsang pembangunan ekonomi,“ katanya.
Beliau berkata dengan mempelbagaikan penggunaan penjimatan yang diperoleh daripada penamatan subsidi ayam, kerajaan boleh menangani pelbagai aspek kebajikan awam dan membuat perbezaan ketara dalam kehidupan rakyat.
Dr Romzi berkata keputusan untuk menamatkan subsidi ayam jangka panjang dijangka menghasilkan penjimatan yang besar dan adalah penting bahawa simpanan ini digunakan dengan baik untuk kebajikan negara.
Awal minggu ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mendedahkan bahawa kerajaan telah menanggung sebanyak RM3.8 bilion bagi subsidi ayam dan telur sejak Februari 2022 dan rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi yang pada ketika ini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. -Bernama


