Penjimatan subsidi RON95 cecah RM4 bilion setahun

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 1:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penjimatan subsidi RON95 cecah RM4 bilion setahun

PETALING JAYA – Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 menerusi Program Budi Madani RON95 (Budi95) dianggarkan mampu menjimatkan perbelanjaan fiskal kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, penjimatan itu dicapai apabila subsidi tidak lagi dinikmati secara pukal oleh golongan yang tidak layak termasuk warga asing dan pengguna komersial.

Menurut kementerian, sehingga 31 Julai lalu, lebih 14.2 juta rakyat daripada lebih 16.7 juta individu yang layak telah menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, melibatkan penggunaan melebihi 13.4 bilion liter.

Katanya, berdasarkan data penggunaan sebenar Budi95 dari Oktober 2025 hingga Jun 2026, kurang satu peratus pengguna menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten setiap bulan, manakala purata penggunaan adalah sekitar 100 liter sebulan.

“Ini menunjukkan had kelayakan semasa sebanyak 200 liter sebulan adalah mencukupi untuk menampung keperluan majoriti penerima tanpa menjejaskan corak penggunaan harian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan mengenai impak penjimatan tahunan daripada pelaksanaan subsidi bersasar RON95 di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, hasil penjimatan tersebut tidak disimpan sebagai lebihan fiskal semata-mata, sebaliknya dimanfaatkan semula bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial rakyat.

Antara inisiatif yang menerima manfaat ialah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada RM15 bilion, peruntukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM3.1 bilion, selain RM1 bilion bagi menangani kos sara hidup termasuk Program Jualan Rahmah Madani.

Turut diteruskan ialah Program Bantuan Awal Persekolahan (BAP), inisiatif Pas Bulanan My50 serta Kad 30 Hari dan Kad Konsesi BAS.MY bagi membantu mengurangkan beban kewangan rakyat. – KOSMO! ONLINE

The post Penjimatan subsidi RON95 cecah RM4 bilion setahun appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved