
KUALA LUMPUR - Soalan asas berkaitan penjodoh bilangan dalam kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial selepas beberapa calon dilaporkan menghadapi kesukaran menjawab topik berkenaan.
Perkara itu mula mendapat perhatian menerusi platform Threads apabila pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut susulan dakwaan bahawa topik yang diperkenalkan sejak peringkat awal persekolahan itu masih mengelirukan sebahagian calon.
Malah, terdapat pelajar yang dikatakan mempersoalkan kepentingan mempelajari penjodoh bilangan kerana beranggapan penggunaannya jarang ditemui dalam perbualan harian.
Seorang pengguna Threads, @azuehamdan, berpendapat keadaan itu mungkin ada kaitan dengan budaya membaca yang semakin berkurangan, memandangkan penjodoh bilangan lebih kerap ditemui dalam bahan penulisan berbanding komunikasi seharian.
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi pengguna, termasuk komen bersifat humor serta kebimbangan terhadap tahap penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.
Seorang pengguna, @functioning.autistic, secara sinis menyindir situasi berkenaan dengan menyatakan calon SPM tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya kerana kurang mengenali penjodoh bilangan.
Menerusi komen itu, pengguna berkenaan mengaitkan istilah ‘penjodoh bilangan’ dengan isu jodoh yang dikatakan semakin sukar ditemui, sekali gus mencetuskan reaksi lucu dalam kalangan pengguna lain.
Sementara itu, seorang pengguna, @faidah_amirul, yang bekerja dalam industri barang kemas berkata, penggunaan penjodoh bilangan merupakan sebahagian daripada urusan hariannya ketika berkomunikasi dengan pelanggan.
Beliau memberikan contoh penggunaan istilah seperti sebutir cincin, seutas rantai tangan dan sepasang subang, sambil menyatakan ada pelanggan yang kelihatan kurang biasa dengan istilah berkenaan.
Seorang lagi pengguna, @mak_mangis, berkongsi pengalaman anaknya yang mempelajari penjodoh bilangan daripada seorang guru berbangsa Cina di sebuah sekolah dalam hospital.
Menurutnya, guru berkenaan sering mengingatkan anaknya supaya mengingati contoh seperti sesikat pisang sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.
Dalam pada itu, sebahagian pengguna turut membangkitkan persoalan sama ada kecenderungan pmenggunakan bahasa tidak formal dalam komunikasi seharian mempengaruhi kefahaman serta penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.
Malah, seorang pengguna secara berseloroh meramalkan bahasa yang digunakan masyarakat mungkin berubah sepenuhnya dalam tempoh 30 tahun akan datang susulan evolusi penggunaan bahasa. - Getaran, 24 November 2026






