
KUALA TERENGGANU – Seorang penjual ikan yang tular mengacu sebilah pisau pemotong daging kepada seorang penghantar makanan di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, di sini pada Ahad lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Zawawi Zahid, 55, juga menghadapi pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badannya sendiri pada empat tahun lalu.
Dia membuat pengakuan bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Yusnaliza Mohammad Yusoff.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Zawawi didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki dengan mengejarnya sambil memegang sebilah pisau pemotong daging di sebuah stesen minyak di Pasir Panjang, di sini pada pukul 4.30 petang, 9 Ogos lalu.
Zawawi juga menghadapi pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badannya sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini pada pukul 9.30 malam, 9 Julai 2022.
Kosmo! Online Isnin lalu melaporkan lelaki berusia 55 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine berkenaan ditahan selepas dikatakan mengacu sebilah pisau pemotong daging kepada penghantar makanan terbabit dipercayai kerana berebut untuk mengepam petrol di stesen minyak berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Penjual ikan acu pisau di stesen minyak didakwa appeared first on Kosmo Digital.





