Penjual sayur rompak kedai dipenjara 9 tahun

29 Jun 2022 • 4:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang penjual sayur berusia 39 tahun yang mendakwa dia merompak RM6,000 dari sebuah kedai runcit kerana tidak dapat mencari kerja semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dipenjara sembilan tahun dan dikenakan lima sebatan rotan.

Wan Mohd Afzannizal Mohd Isa yang mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, memberitahu mahkamah bahawa semasa PKP, dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan untuk mendapatkan wang.

Dia telah merompak wang itu daripada Kedai Runcit H&M dengan mengacukan parang ke arah seorang penjaga kedai itu di Kg Rampayan Laut di Kota Belud pada jam 8.10 pagi 5 Okt 2020.

Wan melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi tertuduh, Siti Rubayah Jafdin, 31, yang meminta dibicarakan bagi pertuduhan itu.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Wan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Okt 2020.

Semasa rayuan, Wan yang tidak diwakili, memohon hukuman ringan agar dia dapat dibebaskan awal dari penjara dan dapat menjaga ibunya yang berusia 72 tahun.

Dia memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai dua sabitan lampau atas kesalahan dadah dan menyimpan barang curi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan trauma yang dialami pekedai itu kerana ketika melakukan jenayah itu, Wan menggunakan parang.

Mahkamah diberitahu kejadian itu berlaku semasa pekedai itu sedang bersiap sedia untuk membuka kedai, apabila seorang wanita masuk ke dalam kedai, berlegar-legar di dalam kedai dan kemudiannya bertanyakan harga barang di situ.

Tiba-tiba seorang lelaki masuk ke dalam kedai itu, mengacukan parang ke arah pekedai tersebut dan memintanya diam dan tidak melawan.

Pekedai yang ketakutan itu kemudian hanya mengikut arahan lelaki itu yang kemudian dikenal pasti sebagai Wan.

Wan kemudian membuka laci di kaunter, mengambil wang tunai RM6,000 sebelum keluar dari kedai dan memasuki sebuah kereta bersama-sama wanita tadi.

Pekedai itu sempat melihat nombor plat kereta yang dipandu Wan kerana kereta itu diletakkan di hadapan pintu utama kedai tersebut.

Susulan laporan polis yang dibuat oleh pekedai itu, Wan dan subahatnya ditahan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.