Penjualan AEON Mall Seri Manjung dilanjut empat bulan lagi

15/05/2025 - 17:25
Gambar/FB Shopping KOL Seri Manjung Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 15 Mei - YNH Property Bhd dan Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) melanjutkan tempoh penjualan AEON Mall Seri Manjung selama empat bulan lagi, bagi membolehkan YNH Property selaku penjual memenuhi beberapa syarat tambahan.
YNH Property berkata, perjanjian jual beli hartanah (SPA) asal ditandatangani pada 20 Januari 2025 dan sepatutnya selesai pada 20 Ogos 2025, namun ia kini dilanjutkan sehingga 20 Disember 2025.
Nilai jualan kekal sebanyak RM138 juta.
"YNH perlu mengemukakan sijil keselamatan terkini untuk 23 lif dan escalator, mendaftarkan set penjana elektrik pusat membeli-belah itu dan memperbaharui sijil keselamatan kebakarannya," demikian menurut syarikat tersebut dalam makluman di Bursa Malaysia mengenai syarat-syarat tambahan.
Tambahnya, selain daripada itu, semua terma lain dalam perjanjian asal masih dikekalkan dan berkuat kuasa.
AEON Mall Seri Manjung kini disewakan sepenuhnya kepada Aeon Co (M) Bhd sehingga Disember 2037.
YNH Property akan meraih keuntungan sebanyak RM12.03 juta daripada penjualan berkenaan.
Wang hasil jualan akan digunakan untuk membayar pinjaman dan modal kerja syarikat.
Sunway REIT pula dalam laporan kewangannya bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 berkata, syarikat menjangka urus niaga itu akan selesai pada suku ketiga tahun ini.
Sebelum ini, YNH pernah menjual pusat membeli-belah 163 Retail Park di Mont Kiara, Kuala Lumpur kepada Sunway REIT dengan nilai RM215 juta.
Urus niaga itu selesai pada Oktober 2024 selepas dua kali lanjutan tempoh bersyarat. - DagangNews.com
standard


