Penjualan kampus Sunway University bernilai RM613 juta buka laluan pelaburan baharu, kata HLIB

05/05/2025 - 16:59
Gambar/Sunway Group Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 5 Mei - Penjualan kampus Sunway University bernilai RM613 juta oleh Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT), membolehkan kumpulan membeli aset baharu pada masa depan, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Menurut HLIB, walaupun Sunway REIT melepaskan aset dengan pulangan bersih hartanah (NPI) yang tinggi, penjualan tersebut memberikan kumpulan modal untuk mengambilalih hartanah lain pada masa depan.
"Kami bersikap neutral terhadap penjualan ini. Walaupun Sunway REIT melepaskan aset yang memberikan pulangan tinggi, penjualan ini akan membantu mereka menggunakan modal untuk pengambilalihan baharu," katanya dalam satu nota kajian.
Penjualan itu dijangka selesai pada separuh kedua tahun kewangan 2025 dan dibuat pada harga 4.6% lebih tinggi daripada nilai pasaran yang dinilai secara bebas.
Kampus Sunway University menyumbang kira-kira 5.1% kepada pendapatan dan 6.9% kepada NPI pada tahun kewangan 2024.
Dengan penjualan berkenaan, nilai aset keseluruhan Sunway REIT dijangka menurun sekitar 5.2%, sekiranya hasil bersih digunakan untuk mengurangkan hutang.
HLIB berkata, penjualan itu memberi Sunway REIT keuntungan sebanyak RM21 juta.
"Selepas penjualan aset pendidikan dan kemas kini laporan tahunan, kami menurunkan unjuran bagi FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 2.5% dan 5.7%. Selain itu, kami juga mula membuat unjuran untuk FY27," ujarnya.
Sunway REIT menyatakan, hasil bersih daripada penjualan tersebut akan digunakan untuk pengambilalihan aset yang dapat meningkatkan hasil pada masa depan.
Jika tiada pembelian aset baharu dalam 12 bulan, hasil bersih akan digunakan untuk membayar hutang dan langkah itu dijangka menurunkan nisbah hutang kepada ekuiti daripada 41% kepada 38%.
HLIB mengekalkan saranan 'beli' untuk Sunway REIT, dengan harga sasaran yang dikurangkan kepada RM2.00 daripada RM2.04. - DagangNews.com
standard
