
PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menegaskan bahawa pelan penstrukturan semula pada tahun 2018 adalah bagi menangani kedudukan defisit kewangan TH yang memerlukan tindakan penyelamatan kewangan segera (bailout) daripada kerajaan, untuk melindungi TH dari insolvensi.
Insolvensi ialah keadaan di mana sesebuah syarikat tidak lagi mampu untuk membayar hutang mereka apabila tiba tempoh matang.
TH berkata, pihak berautoriti seperti Bank Negara Malaysia sejak 2014 telah membangkitkan kebimbangan terhadap kesan amalan membayar Agihan Keuntungan tinggi menyebabkan rizab yang sedia rendah menjadi negatif dan boleh mendedahkan TH kepada risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran.
“Ketua Audit Negara dalam Penyata Kewangan berakhir 2017 pula telah membuat Penegasan Perkara menegur amalan perakaunan yang tidak konsisten dan tidak memberi gambaran kewangan sebenar.
“Manakala, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah menegur tindakan Ketua Audit Negara yang tidak tegas dalam pengauditan Penyata Kewangan TH kerana tidak sepatutnya memberi Sijil Audit Bersih dengan Penegasan Perkara sahaja tetapi sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menjelaskan, jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada akhir tahun 2017 terus meningkat melebihi RM10 bilion pada akhir tahun 2018.
Sekiranya tidak ditangani sebelum akhir tahun 2018, TH tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan sebarang Agihan Keuntungan.
“Jika tiada tindakan ‘bailout’ oleh Kerajaan pada masa itu, ia boleh menyebabkan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara apabila TH terpaksa menjual aset-aset pada harga terdesak di pasaran bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit ketika TH gagal mengisytiharkan Agihan Keuntungan kepada pendepositnya.
“Kerajaan dan TH berdepan pilihan untuk melaksanakan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH dalam masa yang suntuk sebelum akhir 2018, dan telah memilih pelaksanaan penjualan aset-aset kurang berdaya saing serta bermasalah pada nilai premium kepada Kerajaan bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya TH kekal upaya (solven),” katanya.
TH berkata, Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH berjaya menangani kerugian pelaburan RM12.6 bilion, iaitu RM10 Bilion melalui Pelan Pemulihan 2018 dan RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga hujung 2025.
“TH kekal komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam, serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penjualan aset hampir RM10 bilion selamatkan TH appeared first on Kosmo Digital.






