Pelan pemulihan berjaya tangani kerugian Tabung Haji

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 11:19 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelan pemulihan berjaya tangani kerugian Tabung Haji

PETALING JAYA: Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangan institusi berkenaan.

TH dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10 bilion ditangani menerusi Pelan Pemulihan 2018 manakala baki RM2.6 bilion diselesaikan secara berperingkat sehingga penghujung 2025.

Menurut TH, pelan penstrukturan semula pada 2018 dilaksanakan bagi menangani kedudukan defisit kewangan yang ketika itu memerlukan tindakan penyelamatan kewangan segera oleh kerajaan bagi mengelakkan institusi tersebut daripada berdepan insolvensi.

“Jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada akhir 2017 terus meningkat melebihi RM10 bilion pada akhir 2018.

“Sekiranya tidak ditangani sebelum akhir 2018, TH tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan sebarang Agihan Keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TH berkata, kerajaan dan institusi itu ketika itu berdepan empat pilihan bagi melaksanakan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan dalam tempoh singkat sebelum akhir 2018.

Katanya, keputusan akhirnya dibuat untuk menjual aset kurang berdaya saing dan bermasalah pada nilai premium kepada kerajaan bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti serta memastikan TH kekal berkeupayaan memenuhi tanggungannya.

“Syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) kemudian membeli aset bernilai RM9.7 bilion pada harga keseluruhan RM19.9 bilion bagi menutup defisit tersebut dan membolehkan Agihan Keuntungan diisytiharkan bagi 2018.

“Transaksi berkenaan dibiayai menerusi dua siri sukuk terbitan UJSB yang diberikan surat sokongan kerajaan dengan kadar keuntungan masing-masing 4.05 dan 4.10 peratus setahun,” katanya. 

Bagaimanapun, TH berkata, syarikat diberikan hak keutamaan atau Right of First Refusal terhadap aset yang dipindahkan sekiranya UJSB bercadang menjualnya di pasaran.

Katanya, hak berkenaan tidak mewajibkannya membeli semula aset tersebut, sebaliknya memberi keutamaan untuk berbuat demikian tertakluk kepada penilaian komersial serta kesesuaian dengan kriteria pelaburannya.

“Pada tahun ini, TH membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga pasaran semasa RM270 juta berbanding harga jualan asal kepada UJSB sebanyak RM400 juta.

“TH turut membeli semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn. Bhd. pada harga RM695 juta berbanding harga jualan asal RM800 juta,” katanya. 

TH berkata, langkah itu menunjukkan syarikat hanya mengambil alih semula aset yang mampu memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburannya demi menjaga kepentingan pendeposit.

Katanya, kadar Agihan Keuntungan institusi tersebut terus bertambah baik daripada 1.25 peratus bagi 2018 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.50 peratus bagi 2025.

“Agihan itu dibuat selepas mengambil kira rosot nilai aset bermasalah berjumlah RM2.6 bilion yang tidak dapat dipindahkan kepada UJSB pada akhir 2018 atas sebab tertentu.

“Kini kedudukan kewangan TH lebih kukuh dan TH juga telah mula membina semula rizab untuk masa depan yang lebih stabil.

“TH kekal komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN

The post Pelan pemulihan berjaya tangani kerugian Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved