Penolong pegawai MBI didenda RM3,000 terima rasuah RM2,000

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 11:38 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penolong pegawai MBI didenda RM3,000 terima rasuah RM2,000
Syed Nazarudin didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM2,000 sebagai balasan melanjutkan tempoh pengosongan premis perniagaan, dua tahun lalu.

IPOH - Seorang penolong pegawai di Majlis Bandaraya Ipoh (MBl) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM2,000 sebagai balasan melanjutkan tempoh pengosongan premis perniagaan, dua tahun lalu.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Nazarudin Syed Mohamed Taib, 53, dan memerintahkan tertuduh dipenjara selama satu bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan wang tunai RM2,000 yang dirampas dikembalikan kepada pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan Penolong Pegawai Perancang Bandar di Unit Penguatkuasaan Jabatan Perancang Bandar MBI didakwa menerima wang daripada Chong Yin Mei, 49, sebagai balasan untuk melanjutkan tempoh pengosongan premis perniagaan dari dua bulan kepada satu tahun

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Lorong Kuala Kangsar, Taman Merdeka, Ipoh dalam Daerah Kinta jam 5.30 petang pada 22 Ogos 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G Nanthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memaklumkan kepada pemilik premis bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil kerana premis berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976(Akta 172) iaitu membuat pemajuan tanpa kebenaran merancang.

Bagaimanapun, tertuduh menawarkan untuk membantu melanjutkan tempoh tersebut dengan syarat bayaran RM2,000 diberikan kepadanya.

Pengadu kemudian menyerahkan wang berkenaan sebelum tertuduh ditahan pihak SPRM sejurus selepas transaksi berlaku di lokasi kejadian.