KUALA LUMPUR – Seramai 32 lelaki yang tular dalam insiden rusuhan selepas sebuah lori merempuh pagar sebuah pusat hiburan, didenda RM3,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana merusuh dan memiliki pelbagai senjata.
Semua lelaki itu berusia 21 hingga 57 tahun dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Faezahnoor Hassan.
Mereka ialah Tan Chee Chin, G Bathmanathan, M Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.
Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G Srikanth, A Ganesan, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung.
Sementara dua lagi tertuduh muda berusia 19 tahun iaitu Alvin Yong Kai Zhe dan Chong Yu Heng didenda RM2,000 atau penjara selama tiga bulan bagi pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa hadir dan menyertai rusuhan dan memiliki senjata api, peluru, bahan letupan atau bahan lecur, kayu, batu, yang boleh mencederakan dan boleh digunakan untuk menyerang.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat hiburan di Cheras jam 7.30 petang pada 5 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis menerima laporan berhubung kes pergaduhan menggunakan lori dan melanggar pintu pagar.
Sekumpulan lelaki bertindak melakukan khianat dengan memecahkan barang di kawasan tersebut.
Siasatan polis mendapati, terdapat suspek menggunakan senjata untuk melakukan serangan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad mencadangkan semua tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
“Mahkamah perlu mengambil kira insiden itu melibatkan tertuduh yang ramai telah menimbulkan kegentaran awam,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili semua tertuduh berkata, sebahagian anak guamnya bekerja sebagai pembantu restoran, berniaga sendiri secara dalam talian dan pemandu e-hsiling.
Menurutnya, mereka mengaku kesal dan memohon maaf atas perkara yang dilakukan selain berjanji akan mematuhi undang-undang pada masa depan.
“Mereka telah direman selama empat hari sekali gus menjadi teladan maka saya mohon mahkamah mengambil kira perkara itu untuk pengurangan hukuman,” katanya.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan, seramai 43 lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes menceroboh masuk serta memecahkan barangan sebuah pusat hiburan di Cheras di sini, minggu lalu.
Polis Kuala Lumpur membuat permohonan reman terhadap 35 daripada jumlah itu.
Dalam pada itu, tujuh lagi individu dilaporkan sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Semua individu terbabit berusia antara 20-an hingga 40-an diberkas di sekitar Lembah Klang, sejak Isnin hingga awal pagi Rabu.
Ahad lalu, sekumpulan individu bertopeng bertindak merempuh pagar menggunakan lori sebelum menceroboh masuk serta memecahkan barangan sebuah pusat hiburan di Cheras di sini.
Kejadian dramatik itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan sebelum rakaman terbabit tular di media sosial.

